Friday, May 21, 2010

Terkini

Kini memiliki laman baru dengan matlamat tersendiri. layari http://pillarnews.wordpress.com/

HARAF MAAF

DALAM PROSES PENAMBAHBAIKAN.

Tuesday, April 6, 2010

JOM SERTAI!!!



Salam buat sekalian pembaca. Meski ini sekadar hebahan, namun percayalah, pintu kepada sebuah perubahan dan kejayaan terletak di sini antaranya. Mari kita sertai dan kaut segala apa yang terbaik di sana.

Sebarang pertanyaan boleh juga berhubung kepada saya menerusi chat box yang ada atau facebook, e-mel juga no. tel saya.

Sekian. Selamat berjuang!

Tuesday, March 23, 2010

JOM SERTAI!!!


Semua Muslimin dan Muslimat dijemput ke :

Seminar Kenegaraan Pasca 60 Tahun Tragedi Natrah

Masjid Sikamat Seremban Negeri Sembilan

10 April 2010 ( SABTU)

09.00 – 01.00 tengahari

Pembentang : Datin Fatini bt. Yaakob

Penulis Buku 'Natrah : Cinta, Air Mata, & Rusuhan


Anjuran

Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Seremban

dan

Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEINS

Sunday, March 21, 2010

Apabila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung



Salam buat sekalian teman.
Satu topik yang klise. Di mana sahaja kita berada, tanpa mengira batasan waktu dan tempat, kita akan berhadapan dengannya. Ini soal jiwa. Soal hati. Soal nafsu. Juga soal iman. Ramai yang menganggap ini adalah satu isu terbesar dalam hidupnya. Kudrat, keringat, dan pemikiran langsung ditumpukan padanya.

Apabila berbicara tentang cinta, anak-anak muda pasti tersenyum nakal. Senyum yang menyimpan seribu satu maksud dan erti. Suka bukan kepalang. Sebelum kita merumus lebih jauh topik ini, ada beberapa lontaran persoalan yang wajar kita renungi dan jawab terlebih dahulu.Salahkah bercinta? Untuk apa bercinta? kalau cinta tapi tak pegang tangan bolehkan? Bukankah cinta itu fitrah naluri manusia, maka jika tak bercinta,maka kita tak menyempurnakan hak-hak fitrah kita, bukan begitu?

Demikian beberapa contoh soalan yang biasa penulis hadapi tatkala berbicara tentang isu ini, bersama rakan dan taulan. Bagi penulis, isu ini dapat dirumus dengan mudah. Tidak perlu dipanjang-panjangkan. Pertama, mari kita kenali dan dalami fitrah kejadian kita, manusia. dari aspek sejarahnya. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada tolok bandingnya, Adam diciptakan . Manusia pertama. Dan untuk melengkapinya, Hawa sebagai pasangan dihadirkan. Bisa sahaja Allah menciptakan Adam itu bersendirian selamanya. Namun Allah ingin menunjukkan satu sunnah terbesar alam, setiap perkara memang ada pasangannya. Lelaki dan perempuan, positif dan negatif, timur dan barat, kiri dan kanan. Yang mana kewujudan unsur lain itu berperanan sebagai melengkapi. Ini fakta.

Dari segi sifat manusia pula, kita memang dilengkapi dengan rasa kasih sayang. Dan rasa ini memang ciri-cirinya mahu dicurahkan kepada pihak lain. Cuma persoalannya, kepada siapa selayaknya kasih-sayang ini diberikan? Teman wanita yang indah paras rupanya? Jejaka yang tampan lagi menggugah rasa? Rakan perempuan yang baru setahun dua berkenalan? Teman chatting room yang tidak pernah bersua muka? Sahabat yang setia dalam perjuangan? Ibu bapa yang membesarkan diri ini? Atau Pemilik kepada segalanya? Kita perlu ada panduan dalam hal ini. Telah Allah berfirman dalam kitabNya yang suci, lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, dan begitulah sebaiknya. Ayuh nilai diri kita.

Seterusnya, mari kita lihat aspek matlamat. Untuk apa percintaan antara lelaki dan perempuan yang memang jelas tiada sebarang ikatan yang sah dari aspek syar'ie? kemana perlu dibawa cinta itu? apa yang mendorongnya? Nafsu. Semudah itu jawapannya. Tiada sebab lain kemungkaran itu berlaku melainkan dengan nafsu. Dan begitulah dalam hal ini. Barat telah menyempitkan skop cinta ini. Melalui senjata-senjatanya, filem, internet dan sebagainya, cinta itu perlu berakhir di bilik-bilik, beralaskan tilam dan katil. Mereka membawa pemikiran kita tentang hakikat cinta ini kepada satu tahap yang cukup hina. Hanya untuk menyempurnakan tuntutan syahwat manusia semata-mata. Jika begini pertimbangan kita, tiada bezanya kita yang berakal ini dengan haiwan yang bertindak berpandukan nafsu dan naluri. Perlu kita ingat, dengan cintalah manusia Allah jadikan, dengan cinta kepada Allah, Ibrahim sanggup menyembelih anaknya, dengan cinta juga, Ali sanggup berbaring di tempat tidur nabi sewaktu hijrah, dan kerana cinta, Muhajirin dan Ansor dipersaudarakan. Cukup tinggi nilai dan erti cinta ini di sisi Islam. Bagi yang selainnya, kehinaan semata.

Begitulah bagi penulis, berdasarkan ilmu yang tidak seberapa dan semoga Allah memberkatinya, isu ini tertegak atas tiga paksi yang telah disebutkan tadi. Sejarah penciptaan manusia wujud kerana cinta Allah kepada hambanya. Cinta dan berpasangan memang fitrah manusia. Dan cinta itu perlu memiliki matlamat dan sebab kenapa ia mengambil tempat. Buka hati dan jiwa kita sebentar, untuk membaca senario sekeliling. Lebih 17000 anak seluruh negara telah didaftarkan sebagai tiada status sah. Dalam erti kata lain, anak luar nikah. Hasil zina. Statistik menunjukkan, kawasan yang padat dengan penduduk menjuarai carta ini. Lembah Kelang, dan Wilayah Persekutuan adalah yang dimaksudkan. Bangsa yang mengunggulinya? Bangsa penulis dan sekalian pembaca tentunya. Melayu kita. Belum lagi hal kehamilan bawah umur, dan kehamilan tegar. Iaitu hamil berulang kali dan sebabnya sama sahaja. Zina.Inikah buah-buah cinta yang kita idam-idamkan wahai teman? Bagaiman jika keluarga kita yang terlibat dalam masalah ini? Jika Ibu dan Ayah kita masih hidup, apa rasanya perasaan mereka melihat anak yang sebegini jadinya? Bisakah terukir sekuntum senyuman atau hati yang pedih pilu?

Demikianlah baju melayu bertemu baju kurung. Konklusi yang mudah. TIADA COUPLE SEBELUM KAHWIN. Tidak pernah Islam mengajar kita cara ini. Nilai cinta dan martabat wanita amat tinggi di sisi Islam. Islam memuliakan dan menyucikannya. Perkahwinan menurut Islam, adalah demi memperbanyakkan umat yang akan memperjuangkan Agama ini. Membasmi kemaksiatan dan zina. Hanya bermatlamat kerana Allah. Jika mahukan pasangan yang baik lagi suci, perhatikan diri kita. Adakah kita cukup suci untuk dipasangkan dengannya. Ingat, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan sebaliknya. Salurkan cinta kepada penduduk Palestin saudara kita. Mereka amat memerlukannya. Man la yahtammu bil amril muslimin, fa laisa munhum.

Cinta itu suci, jangan cemarinya.

Man la yarham, la yurham.

Bakara Allah lakuma.

Salam hormat.

Monday, February 1, 2010

Krisis Dan Kebangkitan





Salam Buat kalian.

Tindak balas adalah sesuatu perkara yang normal dalam kehidupan. Malah,manusia yang normal, cukup dengan segala kesifatan yang ada padanya, pasti akan bertindak balas. Mengimbau kembali ilmu biologi yang dicintai, ia dipanggil response. Receptor yang ada pada kulit manusia pelbagai jenis fungsinya. Heat receptor, cold receptor, pain receptor, dan sebagainya adalah contoh receptor atau 'pengesan' yang dijadikan. Dan fungsinya?

Kita ambil contoh pain receptor. Terletak paling hampir dengan kulit manusia. Memang begitu dijadikanTuhan. Tatkala terkena benda tajam, pisau misalan, ketajaman yang dikesan dalam bentuk yang diistilahkan sebagai impulse, atau janaan elektrik akan melalui urat saraf terus ke otak. Otak yang menerima akan memproses janaan yang dikesan langsung menyedari ia adalah kesakitan lantas memutuskan perkara atau tindak balas yang wajar dilakukan. Maka, keputusan yang telah ditimbang otak ini terus melalui saraf dan bepindah ke reactor. Bunyi 'aww', menarik tangan dengan kepantasan melebihi kebiasaan, berpeluh dan sebagainya adalah contoh tindak balas. Saraf berfungsi sebagai highway atau mainstream atau pathway bagi impulse ini bergerak. Hebatnya, tiada tol dan lebih menakjubkan, proses yang diterangkan serba ringkas ini dan bisa saja diperhebat dengan istilah, konsep, penemuan terkini dan huraian lebih terperinci, berlaku kurang daripada satu saat. Hebat bukan?

Itu tindak balas badan dengan segala apa yang Allah ciptakan. Bagaimana pula dengan umat ini? Tidakkah dikau perasan duhai diri dan teman, akan segala tindak balas yang perlu berlaku dan kata putus yang perlu diambil? Mengapa tidak kita ini sendiri menjadi receptornya? Menjalankan tugas yang terjunjung di atas batu jembala, misi yang dahulu sebelum menjenguk ke dunia, sungguh-sungguh mahu dilaksana, tatkala berhadapan dengan Rabb yang Maha Kuasa? Salahkah jika menyonsong dan merintis satu response dan tindak balas buat umat dan bangsa yang mana kecintaan ini dicurahkan padanya? Sayu hati dan jantung memerhati prilaku anak bangsa dan marah juga dengan apa yang berlaku dan dilakukan.

Bukankah tindak balas itu sesuatu yang normal, lumrah, dan mesti berlaku, buat insan yang hidup dengan segala ciri-ciri kenormalan yang Allah kurniakan atau pijamkan? Masalah pokok manusia tidak terletak pada statistik pada papan tanda bursa sahamnya sama ada Dow Jones, Wall Street, BSKL, dan sebagainya. Tidak juga terletak pada berapa banyak KDNK yang dicapai. Dan tidak juga terselesai dengan lahirnya infrastruktur mega seperti Burj Dubai, TGV, Shinkansen, Giza, atau seumpamanya. Sekalipun pada permainan politik yang sering berubah dengan segala macam polemik dan fenomenanya, masih tidak mampu mengesan dan memberi tindak balas yang terbaik.Komprehensif.

Tidak seperti Islam. Tindak balas yang mampu terhasil sememangnya terbaik. Jangan segan melihat pada contoh sejarah itu. Saiyidina Abu Bakar. Apabila diamanahkan menjadi Khalifah, krisis utama yang menimpa umat sewaktu itu adalah isu murtad. Ramai yang memegang stigma, Islam itu hanya sewaktu wujudnya susuk tubuh dan jasad sang rasul. Berpisahnya roh dari badan baginda, maka Islamitu terpisah daripada mereka. Isu ini menjadi barah buat umat jika dipandang sebelah mata. Dengan tegas, kata dua diberi buat mereka, sama ada bertaubat atau menghadapi serangan daripada tentera muslimin. Dalam tempoh konfrontasi ini, banyak pihak yang seka meneguk di air yang keruh. Hasutan daripada puak munafik yang tidak putus-putus dan rasa serba salah dikalangan segelintir para sahabat terhadap tindakan yang bakal diambil terhadap golongan murtad. Namun, setelah berjaya menangani konfrontasi dan krisis ini, satu kebangkitan menjunjung kemulian dapat diperlihatkan. Islam mulia dengan da'wahnya yang lebih terang daripada sinar mentari pagi.

Demikian adalah tindak balas natural dalam kehidupan. Setiap krisis, permasalahan, konflik, gejala, penyakit dan apa sahaja musibah yang timbul, memang menjadi lumrah untuk di atasi dan dirungkai permasalahannya. Begitu juga dewasa ini. Saat Islam diperkotak-katikkan, maruah dicalar, darah dialirkan dengan jeriji-jeriji besi besi yang menusuk, dan diperbudak serata tempat, yang hanya mampu dilakukan atau pilihan untuk dibuat hanya berpeluk tubuh, diam seribu bahasa. Disuruh angguk, angguk, disuruh tidur, tidur. Ini yang sebetulnya?

Dengan berdiri di atas satu fitrah yang semula jadi, tindak balas itu amat butuh ketika ini. Sepanjang rentang masa bahkan. Kita perlu menolak diri yang kerdil ini untuk berusaha mengembalikan kemuliaan Islam. Permasalahan umat sebenarnya bermula di dalam hati. satu tempat yang amat abstrak untuk diceritakan. Namun cukup dengan memahami bertunjangkan al-Quran, diperincikan dalam hadis yang sahih, dan diperlihat menerusi kehidupan para safus soleh, hati adalah kuncinya. Kita bisa sahaja merawat sakit badan, kaki, tulang dan pelbagai lagi jenis yang tercatat. Namun, bagaimana mahu merawat hati? Sakit dalam jiwa yang kering dengan kemurnian Islam, harus ditujukan ke mana? Inilah krisis kita sekarang ini. Sama ada mahu menerima atau tidak, ini adalah hakikat.

Maka ayuh rakan, ayuh teman, ayuh sekalian jiwa yang dalam piala hatinya penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang buat umat dan bangsa, kita mula mengorak langkah, bertatih, merangkak, berjalan dan jika bisa, lebih pantas daripada berlari untuk kita rawat hati dan kembalikan kemuliaan Islam kena pada tempatnya. Meski usaha kita ini kecil, atau mungkin kita tidak dapat menikmati hasilnya.Tidak dapat melihat lahirnya khilafah, duduk di bawah naungan Islam, merasai politik, ekonomi, sukan, pendidikan, perbankan,hiburan, malah sistem yang berpaksikan tauhid kepada Allah, dan meski tidak dapat melihat wajah insan yang bakal dipanggil khalifah itu, yakinlah, sesungguhnya, usaha aku dan kalian yang tidak seberapa ini, akan ada nilainya disisi Rabb yang maha kuasa.

Ayuh melangkah ke gerbang jaya.

Salam kebangkitan.

Thursday, January 21, 2010

Jalan Nabi : Sudi?



Salam penuh rindu dan mahabbah.

Hidup menyajikan pelbagai pilihan untuk kita, umat manusia. Dalam kotak minda insan, akan perlu kepada sentiasa memilih antara pilihan-pilihan atau jalan-jalan demi meneruskan kemanderian spesis manusia atau melestarikan kehidupan. Hidup yang umpama pengembara ini, manusia akan terus berjalan dan memilih bentangan-bentangan jalan yang ada, langsung sampai ke matlamat atau destinasi idaman kalbu. Masalahnya, jalan mana yang bisa menjadi pilihan dan mengapa pilih jalan itu?

Ambil warga Jepun sebagai contoh. Dedikasi dan iltizam tinggi kerjanya. Memusatkan seluruh perhatian kepada kerjaya. Memiliki profesion yang hebat menjadi cita-cita dan tidak menyerah kalah kepada sebarang usaha menggagalkan minat mereka. Kerja menjadi obses di sana. Daripada rutin bertukar menjadi budaya. Namun statistik menafikan segalanya. Jepun mencatatkan kadar kematian tertinggi di dunia. Bunuh diri lebih tepat.2006 menyaksikan mereka di tangga ke-3 dunia. PAda tahun 2009, lebih 30000 kes bunuh diri berlaku.Lebih 50% adalah lelaki.Rujuk : http://en.wikipedia.org/wiki/Suicide_in_Japan.Mengapa masyarakat yang memilih mengutamakan kerjaya begini kesudahannya?Bukan mahu menafikan golongan pekerja atau berpandangan pesemis terhadap sesiapa, namun sekadar mahu mengajak merenung sesuatu.

Lihat pula ke sebelah lain bahagian dunia. United kingdom, Britan, atau Amerika Syarikat, 'si polis dunia'. Mengaku kepada dunia,mengamalkan dasar-dasar kemanusiaan sejagat. Berpolisi dalam Dewan Senat menegakkan hak-hak asasi manusia, memulangkan fitrah semulajadi insani, dan bebas dalam memilih jalan hidup. Liberisasi dan demokrasi menjadi kebanggaan dan tunjang dalam aliran pemikiran. Natijahnya? Mereka dangkal dalam menangani isu sosial yang melanda. Kebanjiran anak-anak haram seiring dengan kemajuan material yang dikecapi. Tidak dapat dibendung. Mereka merasakan itu adalah sebahagian daripada rutin hidup, kemestian, malah lebih teruk, perkara asasi dalam hidup. Timbul masalah, apabila nafsu menjadi kayu ukur dalam situasi ini. Kerajaan mereka, baik Republikan atau Demokrat, mati akal dan buntu, dalam mencari jalan keluar. Mandat yang diberikan rakyat tidak mampu direalisasikan demi satu perubahan. Hedonisme menjadi pilihan. Kepercayaan kepada konsep Ketuhanan jauh dari wujud.

Demikian contoh jalan yang telah dan gemar manusia lalui. Idaman kalbu. Namun kalbu tidak semestinya benar. Kita lihat kalbu yang mendapat bimbingan Yang Khaliq

Nabi itu sendiri ada jalan yang ditempuhnya. Jalan supraistimewa. Jalan yang bukan calang-calang manusia sanggup melaluinya. Jalan yang tidak akan disajikan dengan hidangan yang enak-enak, tiada dendangan lagu-lagu gemersik jiwa, tidak dihamparkan 'red carpet', apatah lagi pujian dan sanjungan. Namun jalan itu kekal terbentang,malah makin banyak jiwa yang rela bergabung dengannya. Jalan nabi itu mengajar kita mengenal pencipta dia dan kita, aku dan kamu. Bertitik tolak dengan keyakinan yang terpasak dan membumi dalam kalbu dan pemahaman, satu bongkah kemunduran ditolak demi membuka laluan kepada sinar cahaya iman dan Islam. Jalan ini mengangkat kemuliaan darjat, martabat, dan nilai hidup manusia, sebagaimana yang Allah kehendaki. Jalan yang mempertautkan silaturrahim dan ukhuwah meski buat mereka yang tiada pertalian darah, nasab, dan bumi. Jalan ini menyeru manusia dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang kepada asas dalam agama dan kehidupan. Mengajak manusia bangkit membebaskan diri daripada belenggu kezaliman sesama manusia kepada keadilan Islam.Kata-kata Saiyidina Rab'a Bin Amir menjelaskan intipati yang ingin disampaikan dalam agama ini. Saat ditanya oleh Panglima Rustam, Ketua turus Perang Parsi, dengan jiwa yang hidup dan besar, Rab'a melangkah masuk dengan kudanya lalu berkata,:
'Allah telah mengutus kami untuk menarik keluar sesiapa sahaja yang Allah izinkan, daripada pengabdian sesama manusia kepada beribadat kepada Allah semata-mata, daripada kesempitan hidup dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kekejaman agama-agama, kepada keadilan Islam'

Demikian, betapa indahnya Islam. Tidakkah kita mahu menjadi sebahagian daripadanya?

Saudara umpama Nabi Yusuf buat impian ini.

Salam berjuang.


Tuesday, January 19, 2010

KONVENSYEN PEMIKIRAN HASSAN AL BANNA DALAM MELAKAR AGENDA BANGSA


Berfikir untuk mngembalikan tamadun Islam yang hilang. Ayuh bersama menyertainya. Maklumat lanjut, layari:http://kobanna.ismaweb.net/

Sunday, January 3, 2010

Pesan Akhir

Saudara,


Seandainya kau tangisi kematianku,


Dan kau sirami pusaraku dengan air matamu,


Maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh,


Nyalakanlah obor buat umat ini,


Dan........


Teruskan perjalanan ke gerbang jaya..


Saudara,


Kematianku adalah suatu perjalanan,


Mendapatkan kekasih yang sedang merindu,


Taman-taman di syurga Tuhanku bangga menerimaku,


Burung-burungnya berkicau riang menyambutku,


Bahagialah hidupku di alam abadi.


Saudara,


Puaka kegelapan pasti akan hancur,


Dan alam ini akan disinari fajar lagi,


Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya..


Janganlah gentar berkelana di alam abadi,


Nun di sana fajar sedang memancar.



nukilan,


Syed Qutb


'beberapa detik sebelum beliau syahid di tali gantung'

Friday, December 18, 2009

Daie : Personaliti Solusi










Salam sejahtera.








Acap kali, masalah itu muncul dalam kehidupan. Kadang kala, kita mampu menduganya. Ada juga ketika sang masalah bertandang tanpa dijemput. Kejernihan minda bertukar keruh tatkala berhadapan dengannya. Jiwa yang riang bertukar walang dek kerananya. Memang itu sunnah kehidupan. Menyoroti lipatan sejarah, pelbagai masalah telah berlaku. Bermula daripada penciptaan Adam, yang mana kebiadapan Iblis menjadi punca masalah, seterusnya kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh sekalian nabi dan rasul dalam menyebarkan agama Tauhid dan juga mehnah-mehnah yang perlu dilepasi oleh para penyeru agama Allah. Pelbagai natijah bisa terhasil daripada kepelbagaian masalah ini. Ada yang perlu mengorbankan jiwa dan nyawa demi melepasinya. Seperti rasul-rasul yang dibunuh oleh pengikut mereka atau figure seperti Hasan al Bana, Syed Qutb, Ahmad Yassin, Aziz Rantisi, atau para syuhada' bumi perjuangan, Palestin yang membayar mahar mengatasi masalah ini dengan darah.








Apabila kita bertemu masalah atau masalah bertemu kita, sering minda ini kosong. Dengan erti kata lain, tidak tahu apa yang harus dilakukan atau tidak dapat membuat keputusan yang terbaik bagi mangatasinya. Kerana emosi, kita akan hilang pertimbangan. Berdasarkan satu kajian yang mudah, ayuh kita lihat, bagaimana kita berdepan dengan masalah dan tentukan dimana diri kita.








1) PROBLEM MAKER




Ini adalah golongan pertama. Golongan yang mencetuskan masalah. Golongan yang membuat masalah. Apabila ada masalah yang berlaku, mereka yang menjadi puncanya. Gemar menghuru-harakan situasi dan amat-amat tidak gemar apabila melihat orang lain berjaya. Hasad yang ada di kalbu menebal. Abu Jahal itu contoh termudah. Mengapa dia menentang Islam? Adakah dia tidak faham ayat-ayat al-Quran? Sedangkan dia juga bertutur dalam bahasa Arab. Dia bukan sahaja memahami ayat-ayat itu, bahkan sangat arif dengannya. Kedengkian yang ada dalam jiwa menyebabkan dia menolak segala kebenaran. Lebih menyedihkan, menjadi pelopor kepada gerakan menghancurkan dakwah nabi. Ini masalah yang dia timbulkan.








2) PROBLEM SPEAKER




Ini yang seterusnya. Cakap, cakap, dan cakap. Cukup gemar bercakap. Namun, sekadar cakap-cakap. Tidak lebih dari itu. Apabila timbul masalah atau cubaan, hanya tahu mengulas dan memberi pendapat. Dipanggil sekalian wartawan media massa dan diadakan sidang akhbar. Sebagai platform baginya menzahirkan pendapat yang ada dan bagi mendapatkan tumpuan. Masalah itu sebagai batu loncatan baginya meraih populariti dan pengikut. Lihat sahaja sekalian politikus yang ada. Cukup bijak mengambil peluang dan tidak teragak-agak memijak orang lain atas kesalahannya demi kepentingan pribadi. Apabila hajat sudah dikecapi, dia akan puas hati, namun, masalah tinggal masalah. Lihat sahaja rakyat kita. Berapa banyak janji ditabur. Kebajikan rakyat mahu diutamakan. Namun, yang melarat kian melarat. yang kais pagi makan pagi dan kais petang belum tentu makannya juga ada. Melihat daripada angka bajet kewangan, memang rakyat akan dibantu, namun, ke mana perginya angka yang mangaburkan itu. Sekadar satu lontaran. Tidak berniat penulis menujukan kepada sesiapa, hanya mahu bersama-sama membuka minda dan perhatikan perubahan persekitaran kita. Begitu juga dalam jalan dakwah ini. Berapa ramai yang mampu berbicara tentang kepincangan sosial yang berlaku dan keluar dengan pelbagai teori perubahan. Habis kertas kerja dibentang. Hebat planning dirancang. Moga daripada setiap kekhilafan kita,Allah susuli dengan keampunan dariNya.








3) PROBLEM TRADER




Pengkhianat. Ini kalimah termudah menggambarkan siapa mereka. Rela menjual dan menggadaikan maruah. Sanggup menceritakan masalah kepada pihak ketiga untuk memalukan pihak yang bermasalah. Sesuai dengan kalimah 'trader' itu sendiri, keuntungan adalah matlamat daripada apa yang dilakukan. Duniawi adalah citra tertinggi baginya.








4) PROBLEM SOLVER




Bagai penyuluh dalam gelap malam yang panjang. Dunia telah menyaksikan, bagaimana masalah yang mampu di atasi oleh insan-insan superb bisa menjelmakan satu dimensi kehidupan yang baru. Penuh dengan kejayaan. Lihat pada Abu Bakar. Selepas wafatnya baginda Rasul, berapa ramai umat yang murtad. Menganggap Islam itu ketika wujud ketika bersama nabi sahaja. Kroniknya masalah ini dapat dihidu oleh beliau lantas mengambil keputusan menyegerakan penyelesaiannya. Sesiapa tidak mahu kembali kepada Islam, hanya hukuman bunuh menanti. Meski ada sahabat yang kurang bersetuju, namun atas ketegasan Abu Bakar, masalah dalaman dapat di atasi lanta kesannya? Pada zaman Umar, amat pesat perkembangan Islam. Berapa banyak negara Islam baru telah dibuka dan dari sudut ekonomi juga ketenteraan, pembaharuan telah dibuat. Umar seorang 'revolutionist'. Hebat dalam merintis pembaharuan dan kemajuan. Hal ini telah dimudahkan dengan tindakan Abu Bakar yang seorang 'visionist'. Bijak meramal masa hadapan. Para sahabat telah menggunakan kelebihan mereka menyelesaikan masalah untuk memenangkan Islam.








Sahabat sekalian,








Bagi seorang dai'e, yang mana satu personaliti perlu kita bina? Dai'e itu centre of attraction. Manusia pasti mahu merujuk kepada diri dai'e. Maka, masalah memang akan dihadapi. Lantas solusinya? Lari? Wajarkah batu bata kepada binaan Islam bersikap demikian?








Adakah kau dai'e?








Salam hormat.

PERHATIAN!!!!

SALAM
KEPADA LEPASAN SPM 09, SERTAILAH KEM LEPASAN SPM SESI 2009 ANJURAN PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL. SEGALA MAKLUMAT LANJUT BOLEH DIDAPATI DI http://www.kemlepasanspm.blogspot

Wednesday, December 2, 2009

Jasad Dan Roh


Salam buat jiwa-jiwa yang hidup.

Bagai mayat saja lagaknya kita. Demikian umat ini, kini. Tanpa ketuanan, tanpa negara sendiri, terhakis jati diri dan identiti, hidup merempat atas ehsan dan kuasa yang ada pada musuh, bercakaran sesama sendiri, dan lena dengan mimpi dunia yang singkat.Dan, apabila dipukul, rebah, apabila disogok, menggelabah. Memiliki penganut seramai hampir 1/3 populasi dunia, tidak membawa sebarang erti. Dianugerahi dengan simpanan minyak yang cukup luas saiznya, akhirnya dijual buat laba kuasa-kuasa hagemoni dunia. Bercakap pula tentang ganerasinya, satu keluhan kedengaran. Bagaimana dapat bangkit, jika tubuh yang sasa tumbang kepada sepuntung rokok dan sebiji estacy? Sampai bila harus ditunggu siapnya angkatan pemuda, jika ramai tersadai di pusat-pusat pemulihan akhlak, rumah-rumah pengasih, atau sekadar terlantar di penjuru kaki lima, menanti disentak Izrail.

Itu realiti. Miliki jasad, tanpa roh. Wujud dengan gagah secara zahirnya, dengan batin yang merana.

Duhai sahabat yang mulia,

Berbicara mengenai roh, apa significannya akan kebangkitan umat ini dan bagaimana mengembalikannya?

Secara mudah, ayuh kita lihat dari sudut ilmu sains. Mampukah satu-satu jasad hidup tanpa roh? Tidak bukan. Kematian itu sendiri ditakrifkan sebagai berpisahnya roh daripada badan atau jasad. Demikianlah satu perumpamaan dibuat akan umat ini. Umat Islam tentunya. Roh yang wujud dalam jasad umat, mampu memberi kekuatan dan daya tolakan yang kuat untuk mengharungi dan menongkah arus duniawi. Ia manggerakkan dan menghidupkan anggota umat untuk peka akan situasi diri semasa, sedar akan hakikat yang ada, lantas disolusikan dengan tindakan yang realistik. Bersesuaian dengan realiti semasa. Jasad pula yang akan berhadapan dengan alam. Dengan dunia. Tiada erti tanpa salah satunya.

Satu pendekatan bagi mengembalikannya:

1) Roh itu hilang, antara sebabnya, kita sendiri lupa atau meninggalkan malah menafikan, akan kegemilangan dan ketamadunan yang telah dirintis dan dibina. Kita pernah berjaya, gemilang memacu dan mengemudi dunia menuju negara akhirat. Dengan iman, amal, dan ilmu membangunkan sebuah tamadun. Kita dijadikan rujukan malah dihormati kawan mahupun lawan. Sejarah ini tidak mungkin terpadam dan akan kekal terpahat pada dinding kehidupan, menanti untuk berulang kembali. Mempersiapkan diri dengan memahami sejarah islam secara keseluruhan, umpama memanggil roh pulang ke jasad. Ia akan kembali.

2)Memahami realiti umat masa kini, akan punca, akibat dan langkah praktikal menanganinya. Ramai dikalangan kita yang tidak ambil kisah langsung akan problemisasi umat ini. Ditanya akan isu Palesin, tidak tahu, bila tarikh runtuhnya khilafah Islam, tidak tahu, siapa tokoh Islah dan perjuangan, tidak tahu, mana satu negara Islam, entah apa-apa negara yang disebutnya. Tidak tahu wujud atau tidak. Jangan disalahkan jika anak-anak kita tidak tahu segalanya. Tanyalah, bagaimana kita mendidik mereka. Kita perlu banyak mencari ilmu dan maklumat tentang situasi saudara seakidah kita. Sebagai tanda peduli dan bagi mengembalikan roh ke dalam jasad umat ini. Perlu kita bertindak sebagai pusat rujukan tentang isu-isu agama kita. Bayangkan, sebagai contoh, jika kita belajar di negara asing, lalu satu hari, kita ditanya tentang apa itu Islam. Tentang Palestin. Sama ada di dalam dewan kuliah mahupun oleh teman-teman. Lebih parah, jika soalan itu terpancul daripada mulut orang bukan Islam. Tidakkah kita telah memberi satu gambaran yang negatif akan sikap umat Islam itu sendiri?

3)Beramal dengan ajaran agama dengan sebaiknya. Jadikan al-Quran sebagai bacaan harian. Tidak perlu banyak. Yang penting, istiqamah. Jangan cepat jemu dan mengeluh. Kaji maknanya dan cuba beramal semampu mungkin. Bersegera kepada kebaikan. Dan yang lebih mulia, meletakkan diri kita sebagai antara batu-batu kepada binaan Islam. Menjadi penggerak kepada keja-kerja mendaulatkan dan meninggikan kalimah Illahi. Meskipun kita seorang remaja, pelajar, atau yang sudah dimamah usia. Berusahalah mencarinya.

Duhai teman,

Jangan jadikan entri kali ini, sekadar untuk menyentuh jiwa. Jangan sekadar bersetuju. Bukan salah, kuatir tidak memadai. Mengapa tidak bersama beramal dan bargerak kepadanya, wahai sekalian sahabat.

Dunia ladang akhirat.

Salam berkerja.

Wednesday, November 11, 2009

Ibadah : Manifestasi Seorang Hamba

Salam buat kesekelian kalinya.

Selagi darah mengalir, degup jantung tiada hentinya, rona mata jelas melihat, seiring dengan putaran masa itu sendiri, selagi itu tuntutan amal menjadi satu kebutuhan. Tatkala hentinya nafas, tidak berfungsinya valve, dan tiada signal dihantar ke receptor, menyebabkan segala impulse menjadi palsu semata, lalu terangkatnya roh dari jasad, tika itu, hanya hitungan dan pengadilan menanti. Taubat dan tangis sesal tiada erti di sisiNya.


Menyedari maut memang pasti dan bimbang tidak sempat melihat Rumah Illahi, ramai manusia mengejar kesegeraan ibadah haji. Terutama yang muda. Menjadi satu fenomena dewasa ini, negara menyaksikan lahirnya ramai haji dan hajah muda. Umur tidak sampai setengah usia, gelaran haji dan hajah telah ditagih sebutannya. Pengalaman kehidupan tidak seberapa, namun kelima-lima rukun telah disempunakan. Demikian pada hematnya. Lalu kita akan menyaksikan insan yang merasakan dirinya telah sempurna. Kerna apa? Manakan tidaknya, jika kelima-lima rukun Islam telah selesai, tidakkah bemakna Islamnya juga telah selesai? Telah sempurna. Sampai ke tahap jauh dari orang lain. Stigma sebegini yang pada hakikatnya, terpasak kukuh dalam mentaliti umat. Melayu terutamanya. Ini hakikat yang berlaku. Skop pandangan terhadap ibadah, terutamanya haji, sebagai penutup amal. Macam penutup botol. Tidak lengkap tanpanya.
Ibrah dan kekuatan yang sepatutnya terbina daripada beribadah kepada Rabb seperti berteriak ke padang pasir ditengah kepekatan malam. Tiada hasil mahupun kesan. Sia-sia.

Menyoroti kembali fungsi dan dalil beribadah itu sendiri, perlu kepada keterbukaan dan kejelasan matlamat kehidupan.'wa mal kholaktu aljin wal ins illa li ya'budun'. Demikian firman Allah dan dalil manusia beribadah. Itu juga sebagai ghoyah(matlamat) penciptaan manusia ke alam ini. Ibnu Taimiyah, saat ditanya, apa itu ibadah, dijelaskannya ibadah amat luas ruang lingkup dan maksudnya. Ibadah ritual, solat, puasa, haji, zakat, adalah kewajipan. Ibadah sunat, puasa sunat, solat sunat, adalah contohnya. Ibadah yang melibatkan hubungan sesama manusia, seperti bersedekah, mengajar, menyelesaikan pertelingkahan antara dua saudara, membuang duri di jalanan, dan seumpamanya. Hatta beliau memberi kesimpulan, seluruh ruang lingkup kehidupan ini, merupakan wadah dan peluang untuk beribadah. Sampai ke saat tidurnya juga, ibadah itu mampu terlaksana. Tidak terikat ibadah itu dengan hanya dalam mahupun sekitar masjid sahaja.

Ibadah adalah satu proses perhambaan diri kepada Pencipta. Kepada Allah YAng Esa. Satu bentuk penyerahan diri secara total. Menjalinkan satu ikatan daripada hamba kepada Penguasanya. Menundukkan diri dengan penuh kepatuhan, ketaatan, kehinaan, dan kesungguhan disamping disulami dengan ketinggian rasa cinta kasih dan rindu kepadaNya. Maka rasa kerendahan dan cinta kasih ini dijelmakan dalam bentuk ibadah. Dan ibadah itu pula, seperti yang dibicarakan tadi, amat luas ruang lingkupnya. Seluas kasih-sayang Allah itu sendiri. Daripada amalan wajib, sunat, ketika bekerja, ketika belajar, ketika memasak, ketika memandu, menjaga anak, bermesyuarat, memerhati alam, melancong dan pelbagai lagi. Pendek kata, segala apa yang dilakukan, selagi tidak bertentangan dengan nas-nas syar'i, membawa kebaikan, dan yang paling penting, elemen tunduk dan cinta kepada Allah itu wujud, dikira ibadah. Luas bukan?

Salahkah kita mengatakan diri kita ini hamba? Kita ini hamba. Hamba ini orang suruhan bukan? Kerjanya menurut perintah. Jika kita belajar dalam hierarki masyarakat dunia, golongan hamba ini letaknya paling bawah sekali. Di atasnya ada pemerintah, bangsawan, cendekiawan, kesatria, artisan, ahli tukang, orang awam, dan akhir sekali, baru hamba. Hamba ini golongan yang diperdagangkan. Jika tidak dapat membayar hutang, penjenayah, atau miskin yang mungkin di bawah paras miskin tegar, maka, menjadi hamba. Mengapa ada yang menafikan bahawa kita ini hamba? Adakah sama hamba kepada Allah dengan hamba dalam sistem manusia? Mungkin ini faktor penolakannya.

Hamba kepada Allah, sebagaimana yang dinyatakan tadi, satu manifestasi kepatuhan dan ketundukan serta cinta kasih yang melangit kepada Ilahi. Dengan manifestasi ini, darjat manusia itu akan terangkat dengan sendirinya disisi Illahi. Manusia akan mencapai kemuliaan dalam kehidupan. Jiwa manusia akan bangkit dan bebas serta menundukkan dan menafikan segala macam kepalsuan dan kehinaan dalam kehidupan. Bukan dengan nilai harta yang tinggi, ilmu yang melaut luas, anak-pinak yang semuanya menjadi, kukuhnya kedudukan di dunia, dalamnya cengkaman kuasa, besarnya pengaruh, dan hebatnya penghormatan yang diberikan manusia. Namun, dengan menghambakan diri kepada Allah sahaja jalannya. Dan perhambaan ini tidak menolak dunia sama sekali. Orang yang menghambakan diri kepada Rabb akan mendapat harta, ilmu, anak, kedudukan dan lain-lain nikmat kehidupan. Menifestasi ini bukan menutup, malah membuka seluas-luasnya peluang yang disertai dengan usaha kepada kejayaan. Usah gusar. Lihat sahaja bukti pada sejarah itu. Kepatuhan para sahabat kepada Allah dan rasul tidak menghalang mereka kepada harta dan kekayaan serta kekuasaan. Kerajaan Rom dan Parsi yang agung itu tunduk di bawah kekuatan dan kekuasaan mereka. Mereka menaklukinya. Benar bukan? Genggamlah dunia, asalkan tidak di hati.

Sedangkan, perhambaan kepada manusia tidak lain hanyalah bersifat kebendaan dan material. Harta dan kuasa yang menjadi penentu kepada darjat dan martabat. Hina dan mulianya manusia amat bergantung kepada neraca itu. Sebenarnya, alam konteks ini, manusia telah menghambakan dirinya kepada harta dan dunia. Hidup berorientasikan usaha meningkatkan dan mengaut harta sebanyak mungkin. Amat rugi. Nilai ibadah itu akan jauh dari diri.

Maka ayuh kita buka minda seluas-luasnya. Akan hakikat dan matlamat ibadah itu dan kaitannya dengan konsep perhambaan kepada Yang Khaliq. Buka pintu hati untuk cuba memahami lantas beramal bengannya. Moga-moga, kita ini bersama terpilih dalam golongan yang bisa dicampakkan dalam sanubarinya erti iman dan taqwa yang sebenar.

Sahih dalam beribadah.

Salam perhambaan.

Saturday, September 26, 2009

Hidup Yang Sempurna


Hidup di Malaysia nan indah dan permai. Sentosa saja gaya dan rasanya. Begitu secara mudah dapat diungkap tentang bumi pertiwi ini. Dek kerana keindahan, kepermaian, dan kesantosaan ini, kita dididik dalam suasana dan latar sosiomasyarakat yang mudah dan terlalu mudah. Minda kita dilatih untuk hidup di bawah situasi perfect environment. Apa buktinya? Kita lihat masyarakat kita. Awal Syawal itu contoh termudah tentunya. Bergembira, berpesta, dan bersukaria. Perkara asasi sewaktu Eid Mubarak itu. Tidak salah sebenarnya bergembira menyambut perayaan Aidil fitri itu, malah itu yang dituntut Islam. Bergembira dan menzahirkan kekuatan ummat. Gembira kerna berjaya lepasi sistem pendidikan Ramadhan. Itu baru satu tahap. Yang lebih besar ertinya, bagaimana kita selepasnya. Masih sama atau sekadar kita yang dauhlu? Menjadi manusia yang Rabbani atau manusia Ramadani? Aurat masih dibuka, rokok masih ditagih, rasuah masih manjadi amalan, agama tetap dipersendakan, dan citra sekular terus disanjung dan diutamakan. Lantas mana lataknya perubahan kita?

Berbalik kepada isu perfect environment tadi, ini yang menjadikan kita hidup dalam budaya senang dan lena. Sehingga tidak sedar sebenarnya kita sedang dijajah. Kita dimomokkan sudah merdeka dan berjaya. Berada dalam zon selesa. Semuanya sudah lengkap dan sempurna. Sehingga menyebabkan kita tidak berani bertindak dan bersuara. Media arus perdana dan pendidikan memainkan peranan penting tentunya untuk menyumbang kepada permasalahan ini.

Mengapa media? Sebab dia arus perdana? Lalu jika arus tidak perdana atau media alternatif kita istilahkan, tidak mengapa? Ada yang mengatakan, jika mahu fakta terbaik, rujukilah media arus perdana. Sentiasa terkini. Bagaimana jika fakta itu sendiri yang dipalsukan? Jawapannya mudah. Kerana media arus perdana ini cukup kuat pengaruhnya terutama buat masyarakat sama ada golongan bawahan, pertengahan, atau atasan. Melainkan mereka yang celik minda dan merevolusikan minda mampu mencernanya. Menganalisis dan mensintesis segala maklumat yang diperolehi. Selain daripada itu, alamat terima sahaja. Menadah sahaja tanpa usul periksa. Apa sahaja yang disajikan media arus perdana, sama ada informasinya, dramanya, kartunnya, filemnya, dan pelbagai lagi bahan amat besar implikasinya terhadap umat. Anak kecil misalnya. Islam mengajar mereka ini perlu didik oleh ibu bapa. Mereka murabbi terdekat dan mereka yang bakal mencorakkannya menjadi muslim, yahudi, nasrani, atau majusi. Namun, bila si kecil didik menerusi media arus perdana, astro misalnya, ibarat membiarkan anak kecil bermain di jalanan bersama orang yang tidak dikenali. Terlalu terbuka. Lalu mereka menafsir dunia dan kehidupan dengan ciri-ciri yang dipersembahkan. Hidup riang, anak muda mesti enjoy, pergaulan lelaki dan perempuan yang tidak berbatasan, masalah keluarga, dan pelbagai lagi. Penafsiran begini menyebabkan mereka tidak melihatnya sebagai satu masalah. Mereka dididik untuk menerima senario dan situasi umat masa kini.Tanpa ada rasa mereka perlu diubah dan menjadi ejen perubahan. Tidak terlintas difikiran mereka jika umat ini bukan dia yang mengubahnya, tiada siapa lagi bakal mengubahnya. Mereka dilatih menerima doktrin kehidupan ' ala, tu bukan masalah aku pun' atau 'aku belajar pandai-pandai, result power, CGPA tinggi, fly, kahwin, beranak pinak, tiba masa pencen aku balik duduk kampung lepak kat masjid x pun suaru, jadi qariah sejati, ade rezeki siap dapat jawatan lagi, silap-silap pengerusi' Hendak berbicara atau melaksanakan tugas perubahan masyrakat, amat juah sekali. Kerna apa? Media arus perdana tentunya. Bukan salah media semata-mata, tapi pengaruh kuatnya dek kerana kealpaan kita dalam mendidik mereka.


Seterusnya pendidikan. Sejak dari peringkat terawal lagi mengajar kita erti dan kepentingan perpaduan serta beroriantasikan pencapaian cemerlang akademik semata-mata. Tidak kira ditukar nama kementerian, bertukar tampuk pemerintahan, atau apa pelan yang dipakai, namun masih itu citanya. Ini menjadikan pelajar kita cukup mengejar dan mengagungkan pencapaian. Sentiasa mahu menjadi yang terbaik. Sifat sebegini tidak salah. Namun silapnya, bila mana hanya bidang sains sahaja yang dititikberatkan. Bidang yang akhirnya melahirkan engineer dan doktor. Hal ini akan dibicarakan kemudian. Yang penting, asas dan nilai agama jauh ditinggalkan. Sekadar satu subjek. Bukan untuk diamalkan manerusi pendidikan. Jawapan atas kertas menulis aurat wajib ditutup, tetapi amalnya, hilang bersama angin lalu. Sekadar mahu markah untuk jawapan terbaik. Anak didik kini juga menjadi ganerasi buta jawi. Tidak tahu menulis apatah lagi membacanya. Ini satu panghinaan dan kebiadapan terhadap nilai bangsa sendiri. Memang ia tidak wajib, namun adalah nilai bangsa yang harus dipertahankan. Dari aspek mentaliti juga jauh ketinggalan. Mentaliti hanya berkisar menjadi pak turut. Melihat bidang yang memiliki nilai pasaran yang tinggi,'high marketality' misalnya, terus berlumba pergi ke arahnya. Alasannya mudah, senang dan dijamin dapat kerja, gaji lumayan, nak kahwin cepat, ekonomi global tidak menentu, dan inflasi bakal berlaku lantas butuh kepada sumber kewangan yang kukuh. Lalu terbiarlah bidang kesusasteraan, agama, ekonomi, falsafah dan pelbagai lagi bidang yang tidak popular di universiti. Mentaliti dengan kecenderungan untuk menyelesaikan masalah langsung tidak dibina. Contoh kesannya, tidak mahu menjadi penyelesai masalah ekonomi dunia ini. Sudah cukup dengan menyelamatkat diri sahaja. Selesa melihat insan lain dihimpit cengkaman ekonomi kapitalis ini. Demikian dahsyatnya pendidikan kita.

Mungkinkah hidup ini akan tamat begini? Demikian dirasakan persoalan yang wajar kita jawab sebagai satu muhasabah. Kita tanya diri kita, sudah berapa banyak yang disumbangkan buat umat. Dalam usaha membebaskan umat daripada cengkaman kezaliman kepada kebebasan kehidupan, daripada kegelapan kepada sinar cahaya iman, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan alam dan akhirat. Surah As-saff ayat 9-12 bisa menceritakan segalanya.

Berani membawa perubahan.

Salam Aidil Fitri.

Saturday, September 5, 2009

Perang Badar : From Zero to Hero.

Perang Badar. Asalnya bukan untuk sedemikian. Kerahan tenaga yang Rasulullah lakukan hanya semata-mata mahu menyekat kafilah dagang musyrikin Makkah. Mahu membuktikan akan kekuatan pasukan muslimin dan menggertak dan melumpuhkan sumber ekonomi utama mereka. Para sahabat juga sewaktu hendak keluar hanya membawa kelengkapan sekadarnya. Tidak bertujuan menghadapi seangkatan musuh atau seumpamanya. Namun, ketentuan Allah itu yang lebih pasti dan berhak berlaku.

Secara ringkas sejarahnya, Abu Suffian telah mengerahkan beberapa orang pemuda pergi ke Makkah untuk meminta bantuan, atas kehadiran pasukan Muhammad terhadap kafilah dagang. Maka, pemimpin-pimimpin Musyrikin bersidang dan memutuskan untuk keluar berperang. Menentang tentera Muhammad yang amat dibenci mereka. TUjuan mereka keluar tidak lain hanyalah mahu mempertahankan harta dan bahagian dagang mereka dalam kafilah itu. Wujud juga sebilangan yang tidak mahu keluar lantaran tiadanya kepentingan mereka untuk berperang. Setelah dihina dan disindir Abu Jahal dan sekutunya, barulah golongan ini keluar. Namun dengan hati yang amat walang dan berat. Ditakdirkan Allah, kebijaksanaan Abu Sufyan telah menyelamatkan kafilah dagang dengan melalui jalan laut lantas menghantar utusan kepada tentera Musyrikin yang telah separuh perjalanan itu agar pulang. Kerna Muhammad bersama tenteranya tidak bisa merampas harta mereka. Iri hati dan ego. Ini yang telah menyebabkan tentera Musyrikin tidak mahu pulang. Mereka masih mahu berperang bagi menunjukkan kekuatan dan kekayaan mereka agar berita mereka mengalahkan Tentera Muhammad kelak bakal menjadi bualan dan lagenda tempatan. Demikian sebab tercetusnya peperangan.

Untuk sejarah perang ini, tidak perlu saya ceritakan. Lebih mudah bagi sekalian pembaca menelaah sendiri dan saya yakin, ramai yang sudah begitu arif tentangnya. Apa yang mahu penulis masukkan adalah ibrah(pengajaran) daripadanya.

Fahami dan pegang ini :

1) Kemenangan Allah terhadap pendokong-pendokong agama adalah satu yang pasti. Ibarat satu janji yang mesti berlaku hanya apabila cukup syaratnya. Beriman dan bertaqwa dan mengerjakan amal kebajikan. Ini adalah unsur asas atau syarat asasi bagi meraih janji kemenangan Allah. Kesan pembinaan daripada Rasulullah ke atas sahabat telah melahirkan wafa' (kesetiaan) yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan Rasul. Meski mereka tidak bersedia untuk berperang baik dari aspek material atau kuantiti, namun atas kefahaman yang jelas terhadap tuntutan hidup di dunia dan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, mereka rela terima dengan keterbukaan hati yang amat sangat.

2) Allah mahu mengajar dan sebagai hujjah kepada kita bahawa sesungguhnya, agama ini tertegak dengan pendokong, rijjal, dan figure yang ampuh. Mudah sahaja bagi Allah sekiranya mahu menegakkan agama ini atau memberi kemenangan tanpa ada pengerak. JIka Allah memenangkan tanpa penggerak sewaktu perang Badar, nescaya kita tidak mahu beramal dan berdakwah sekarang. Kerana beranggapan wujudnya Muhammad sebagai punca kemenangan tanpa perlu pertolongan orang lain. Tapi tidak. Muhajirin dan Ansar menjadi pendokong kepada perang ini. Dan mereka menang. Begitu juga kini. Kepada sesiapa yang mengimpikan wujudnya khilafah dan kemenangan Islam, perlu berusaha dan berkerja untuk Islam. Tidak cukup dengan pengakuan, syarahan, ceramah, pidato, slogan, kempen, dan sembang-sembang semata-mata. Perlu ada perancangan dan tindakan.

3) Kekuatan, kekuasaan, dan material bukan syarat utama mencapai kemenangan akan tetapi, kekuatan hubungan kepada Allah (taqarrub illa allah) yang menjadi kuncinya. Statistik membuktikan, 1000 melawan 313, 200 tentera berkuda menentang 2 tentera berkuda, dan persenjataan yang rapi mengatasi senjata yang ala kadar daripada tentera muslim. Ini perkara utama yang perlu diambil berat oleh sekalian juru dakwah. Membina hubungan dengan Allah. Tadarus, memelihara dan menambahbaik solat wajib, memperbanyak solat sunat, membersihkan hati adalah antara jalan kepadanya. Ini yang mesti dititikberatkan disamping tidak mengabaikan material. Islam tidak pernah menolak material. Material itu perlu bagi memudah dan melancar rencana dakwah yang ada. Hanya apabila material menjadi keutamaan dan matlamat, maka tunggulah janji Allah.

4) Perang akidah dan emosi. Ini antara perkara besar yang berlaku. Memilih antara mempertahankan akidah atau mendahulukan emosi. Tentera muslimin sewaktu peperangan ini menentang bapa saudara, pak cik, malah saudara sendiri. Kebannyakan lawannya datang daripada kaum kerabat. Hal ini sedikit sebanyak apabila difikirkan logik akal memang sukar diterima. Sanggupkah kita memenggal atau membunuh saudaran kandung sendiri yang telah membesar bersama, bermain bersama, kasih yang amat terhadap satu sama lain sebagai contohnya? Namun jika diemosikan hal ini, maka tidak ke mana Islam itu. Tentera muslimin cukup profesional dalam menimbang hal ini. Antara akidah dan keluarga ada bezanya dan keluarga yang menentang Islam sudah tidak bermakna. Keprofesionalan ini yang wajar kita contohi. Juru dakwah tidak sepatutnya tumbang kepada emosi apatah lagi gugur kerana tidak mampu menstabilkannya. Kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan dengan berpegang kepada rujukan utama dan ukhwah adalah kuncinya.

5) Pertolongan Allah itu pasti datang buat insan yang ikhlas dalam perjuangan. Dalam perang ini, kita melihat bagaimana Allah mengutus malaikat sebagai penolong kepada tentera muslimin. Kehadiran malaikat telah membantu kemenangan. Begitu juga dengan contoh terdekat tika ini. Allah menolong tentera Hamas dengan mengutus malaikat untuk membantu mereka mempertahankan akidah dan Gaza. Tentera Israil amat terkejut apabila berhadapan dengan tentera serba putih sedangkan umum mengetahui, tentera Hamas berpakaian serba hitam dan hijau! Maka buat sekalian sahabat, yang rasa malu, takut, dan berat untuk turut berdakwah, usah difikirkan itu semua. Janji Allah buat pendokongnya pasti tiba apabila cukup syaratnya. Jika ada yang malas ikut program kerana takut result exam turun, biasiswa ditarik, dimarah ibu bapa, tidak naik pangkat, gaji dipotong, dipandang hina oleh teman dan saudara, maka usah bimbang usah gundah. Memang itu sunnah atau ketetapan bagi sesiapa sahaja yang berkeinginan hidup dalam jalan ini. Dan pertolongan Allah iti PASTI.

Jadikan Perang Badar sebagai pendorong untuk kita mengeluarkan tenaga sebenar kita.

Ramadhan kareem.

Salam takzim.

Friday, August 14, 2009

RAMADHAN KAREEM!!!




‘Bagai menerima sebuah hadiah terlalu istimewa daripada kekasih. Nilainya tiada tandingan. Biar berganti tujuh lautan dengan emas dan permata, tujuh lembah dengan nilam dan manikam, namun, itu semua hanya ibarat debu berterbangan di sisinya. Itulah Ramadhan yang mulia.’


Silih malam dan siang berganti, bagai putaran episode-episode kehidupan manusia. Dalam pantasnya masa berlalu, kini gerbang Ramadhan mampir merapati kita. Datangnya bukan sekadar satu kehadiran biasa. Tidak kira bagi sesiapa pun. Bagi kanak-kanak, tibalah masanya bermain mercun dan bergembira. Bagi peniaga dan penjaja, lubuk rezeki menanti mereka. Bagi pembuat pakaian dan tujang jahit, bertimbun tempahan menanti. Bagi pembuat kuih, sudah boleh dicongak-congak berapa keuntungan tahun ini, dan sebagainya. Seputar ragam manusia menyambut Ramadhan yang mulia. Begitu segelintir masyarakat kita. Saban tahun mungkin. Masih dalam satu kepompong pemikiran yang sama terhadap terhadap Ramadhan. Benar bukan?





Kebanyakan masyarakat tempatan, Melayu muslim khususnya, barangkali tidak berapa jelas akan bulan ini. Berkenaan kemuliaannya, tanggungjawabnya, dan peluang yang sedia terhidang. Tindak balas yang dilakukan manusia terhadap bulan ini adalah kesan satu bentuk penjajahan sebenarnya. Ya, hidup kita masih dalam satu siri penjajahan yang panjang. Masih tidak bebas sepenuhnya lagi. Kukuh terpasak dalam minda segelintir masyarakat, Ramadhan ini tidak lain hanya seperti bulan yang memerlukan kita berlapar pada siangnya dan pada malam hari, sajian menggugah jiwa menanti. Genap sebulan, raya menanti. Masa untuk beragam dan melaram. Insan masih lagi sibuk memikirkan persiapan menghadapi raya berbanding menghadapi Ramadhan.




Bayangkan, jika bagi anak-anak kecil, minda mereka sudah diprogramkan untuk menyibukkan diri menghadapi raya. Bila raya, baju raya, kuih, kasut dan sebagainya menerusi iklan-iklan dan dan siri-siri drama televisyen. Kalau dari kecil sudah didik dengan lagu ini, pemikiran ini menjadi stereotype dan untuk baki 50-60 tahun kehidupannya, begini sahaja senarionya. Komposisi punduduk Malaysia 24 juta, dan 14 juta daripadanya adalah Melayu. Daripada jumlah 14 juta ini, 30-35% adalah kanak-kanak. Jika mereka sentiasa terdedah dengan budaya berfikir ini, untuk tempoh 10-20 tahun kehadapan pula, berapa ramai lagi yang bisa menjadi sepertinya.


Rangka penjajahan ini hampir mencapai matlamatnya, menjauhkan kita daripada menikmati kalazatan Ramadhan seoptimum mungkin yang mana tujahannya, mampu manggegarkan alam.


Golongan yang seterusnya, lain pula kisahnya. Dilihat, seakan tiap-tiap hari diharungi dengan penuh kenikmatan menghadapi Ramadhan. Manakan tidaknya, belum masuk Ramadhan sudah berebut orang buat kenduri kesyukuran bagi menghargai tibanya bulan ini. Surau dan masjid, sibuk membuat rencana dan rangka program bagi menghadapinya. Qiammulail perdana, iftor jamaie, tadarus berjamaah, dan sebagainya. Namun, apa yang mengecewakan, amal tinggal amal.Mereka menjadi manusia yang Ramadhani, bukan Rabbani. Berlalunya Ramadhan tidak memberi impak sedikit pun. Mereka masih kekal sama seperti dahulu. Hidup dengan rutin yang tidak membina.


Ramadhan umpama satu unuversiti. Tempat mambina diri. Graduan universiti hanya akan diiktiraf dengan segulung ijazah yang diperolehi. Ijazah itu akan digunakan sebagai tiket kepada pintu rezeki dan majikan amat mengiktirafnya. Sama halnya dengan universiti Ramadhan ini. Graduannya akan menerima pengiktirafan daripada Rabbul Jalil. Dengan pengiktirafan ini, tempoh 11 bulan mendatang bakal dilalui dengan barakah dan makrifah, dan maghfirahnya.


Hidupkan Ramadhan.


Salam perubahan.








Friday, July 31, 2009

Dari Singa...



Kepada anak kijang yang pengecut. Begitu hakikat putera-puteri Islam dewasa kini. Satu bentuk evolusi yang mengaibkan dan memalukan buat umat yang sedia sakit ini. Kenapa dikatakan aib dan malu? Kerana sejarah singa Islam yang pernah menggegarkan dan membina sebuah tamadun peradaban manusia terbaik sepanjang zaman dikikis dari memori umat ini. Kegemilangan Tamadun Abbasiah bukti termudah. Ini realitinya peperangan yang terus berlaku. Bagaimana musuh mahu mengelirukan dan memastikan tiada peningkatan dicapai umat yang mengesakan Allah ini.

Konspirasi untuk memerangi lantas menjatuhkan umat Islam pada zaman millenium telah dilakukan dengan cukup teliti. Mereka memastikan platform-platform semasa dikuasai oleh tokoh-tokoh buatan. Tokoh buatan? Mungkin janggal didengari namun tidak aneh lagi kini. Sistem pendidikan, ekonomi, dan media massa umpamanya telah dikuasai oleh ilmuan, cendekiawan, dan sasterawan palsu malah buatan. Zahirnya mereka ini nampak pro Islam, namun sebenarnya menyebarkan retorik ala

jahiliah kepada masyarakat. Mereka mengaku program yang dijalankan bersifat ketuhanan dan menjurus kepada pembangunan modal insan, namun itu hanya untuk mengaburi masyarakat semata-mata. Hakikatnya, perancangan jahiliah masih diteruskan. Konsert berlebihan, rancangan realiti yang menjadikan kita lupa akan realiti sebenar dan sambutan Tahun Baru yang mencampurkan lelaki dan perempuan masih dijalankan. Ini baru contoh dari aspek media massa.

Tokoh-tokoh ini pula lahir daripada sistem pendidikan yang dicorakkan oleh barat tentunya. Lemahnya sistem ini bukan kerana ia memberi tumpuan kepada akademik, mengutamakan pencapaian dalam peperiksaan, tidak holistik, atau berorientasikan peperiksaan dan sistem KBSR serta KBSM, tetapi kerana hasil daripada sistem pendidikan barat ini gagal untuk menguasai syahwat, tunduk kepada nafsu dan karam dalam hedonisme. Meskipun pencapaian akademik dalam slip peperiksaan itu menggembirakan, namun gagal dalam aspek ini. Mereka inilah yang ditempatkan menjadi tokoh-tokoh dalam masyarakat, baik dalam lapangan politik, sastera, cendekiawan, media massa, manjadi ahli korporat, pengarah, dan teknokrat. Natijahnya, idea dan gerak kerja pembangunan Negara bersumberkan aspirasi golongan yang tunduk kepada nafsu dan syahwat. Lalu, agama diperkotak-katikkan dan hanya tinggal sebahagian daripada perlembagaan yang dipesongkan. Tinggallah agama menjadi bahan pameran di muzium, expo-expo, adat perkahwinan, pembahagian harta pusaka, dan sekitar itu sahaja. Dari aspek kesyumulan dan penghayatan jauh dari yang sepatutnya.

Rancangan sekalian musuh-musuh ini hampir berjaya. Kisah-kisah singa Islam satu masa dahulu telah dipadamkan. Anak-anak kini hampir tidak mengenali siapa Torik bin Ziad, Saad bin Abi Waqas, Abdullah ibnu Maktum, Ummu Salamah, Bilal, dan lain-lain sahabat. Jika tidak kenal, bagaimana mahu menyelami kisah perjuangan mereka. Tidak begitu? Tanpa inspirasi daripada pejuang-pejuang terdahulu ini, tidak mungkin dapat dibangunkan jiwa-jiwa yang sensitif dan peka terhadap ummat. Pemuda-pemudi kita tidak lagi menerkam umpama singa yang garang terhadap jahiliah dan kuffar. Jika dahulu, sahabat sanggup bangkit menyatakan yang hak demi membasmi yang batil, kini, tidak lagi. Pengorbanan keluarga Yasser sehingga syahid kerana mempertahankan syahadah tidak lagi berulang. Mereka yang baik pada masa kini lebih memilih untuk beruzlah, me

ngasingkan diri daripada maksiat dan lari daripada jahiliah. Tidak ramai yang rela terjun ke dalam masyarakat untuk menyingkirkan kekufaran yang ada. Mereka umpama kijang yang pengecut.

Begitu hakikatnya. Wajar dibiarkan berterusan perkara ini?


Kekal sebagai singa.


Salam hormat.




Monday, July 20, 2009

CREAM OF THE CREAM


‘Terlalu istimewa’. Mungkin itu bukan rangkai kata terbaik bagi menafsir maksud tersebut, namun, itu yang terhampir tentunya. Satu darjat yang mengangkat manusia ke tahap lebih dan tertinggi. Ya, hidup ini sememangnya memiliki tahap-tahapnya. Tahap yang membezakan antara individu, darjat, kelompok, kumpulan dan golongan. Langit dan bumi itu sendiri dicipta bertingkat-tingkat dan berlapis-lapis. Masakan sekadar satu penciptaan sahaja. Pelbagai hikmah buat kita tentunya. Dan langit tertinggi itu hanya makhluk bernama Muhammad sahaja pernah menjejakinya. Saat menerima perintah solat. Betapa mulianya baginda. Dan darjat manusia seakan begitu juga. Yang tertinggi dan termulia serta yang teristimewa hanya untuk yang selayaknya sahaja. Dan bagaimana kita mahu menilai kapan kita bisa sampai padanya? Harta, pangkat, keluarga, atau jawatan yang menjadi penentunya?

Sejarah telah menceritakan segalanya. Satu bukti yang hidup, kukuh, dan konkrit tentunya. Mari kita ambil satu contoh daripada layar sejarah yang panjang ini. Menurut Muhammad Ahmad ar-Rashid, dalam bukunya ‘al-Muntholak’ atau ‘Langkah Bermula’, diceritakan bahawa ganerasi yang unik ini pernah wujud. Bila? Tika zaman Rasulullah sem

estinya. Mereka itu bukan sekadar insan yang berilmu, memiliki daya kendiri yang tinggi, atau dari keturunan yang mulia nasabnya, namun, mereka adalah insan yang mamiliki jiwa yang hidup. Dengan jiwa-jiwa yang hidup ini, mereka bergerak, mengatur langkah, dan meneroka amal barbekalkan kebolehan yang ada pada diri mereka bagi matlamat yang satu. Melihat seisi alam dan penghuninya tunduk patuh meninggikan kalimah Illahi. Muhammad itu telah berjaya menyentuh jiwa mereka agar hidup, sentiasa peka, malah sensitif terhadap kehidupan ini.

Kesannya? Cukup mendasar. Mereka yang menjadi figure dan tonggak kepada satu gelombang yang memukau seluruh alam. Kisah panjang sejarah Islam bermula dengan barisan unik ini. Bermula dengan mereka yang tergolong sebagai cream of the cream’ . mereka sanggup terjun ke tengah-tengah medan masyar

akat bagi membawa perubahan. Dari perhambaan sesama manusia, kepada perhamban kepada Allah. Dari kekejaman dan kezaliman teghut, kepada kemuliaan dan kebebasan Islam. Dari kesempitan hidup dunia, kepada dunia dan akhirat yang cukup luas. Tatkala wafatnya sang rasul, sekalian sahabat bertebaran ke seantero alam, menyebarkan Islam ke segenap pelusuk dan jurusan. Syiria, India, dan Sepanyol adalah antara contoh negara yang pernah kita naungi.

Di tahun-tahun yang seterusnya, penyebaran Islam laksana kuntuman bunga dinihari. Mekar dan mewangi. Dengan pelbagai nikmat yang menyenangkan hati. Saat inilah. Ketika dunia dalam genggaman, ada yang telah digenggam kembali olah dunia. Dunia dan segala tipu dayanya telah mengecutkan jiwa-jiwa pejuang mutakhir dan melemahkan keazaman serta kebutuhan berjuang, berdakwah, dan berjihad. Ungkapan khalifah Umar bin Abdul Aziz mampu menceritakannya :

sesungguhnya

aku sedang merawat satu urusan yang tiada siapa dapat menolongnya kecuali Allah. Sesungguhnya di atasnya telah mati orang tua, orang yang kecil telah membesar, orang Ajam tlah mahir dan Arab Badwi telah berhijrah sehingga mereka menganggap ia sebagai agama. Mereka tidak melihat kebenaran selain dari itu.’

Ka

limah tersebut keluar dari sanubari Umar Abdul Aziz, bilamana melihat umat semakin maju, kekayaan melimpah ruah, jajahan semakin luas, hasil tuaian menggembirakan pemilik ladang, dan pelbagai lagi nikmat dari Tuhan. Beliau gusar sekiranya iman yang dimiliki dalam jiwa kesan daripada tarbiah, luntur

dan rapuh ibarat manusia yang meniti hari-hari tuanya. Terlalu banyak bid’ah dan kelalaian yang dilakukan umat waktu itu yang akhirnya membawa kepada kelemahan dan perpecahan. Rumah-rumah dipenuhi dengan perhiasan yang berlebihan, pakaian berkualiti diutamakan, namun, seruan dakwah dan jihad ditinggalkan. Begitu senarionya.

Itu kesan sekiranya iman dan jiwa manusia dahyus lantas mati. Ganerasi ‘cream of the cream’ hilang bersama sejarah. Hanya menjadi idaman dan penceritaan mulut ke mulut buat anak-anak yang baru mahu menapak di alam ini. Shuhaib ar-Rummy, Miqdad, Ali Abi Talib, Abu Bakar, Abu Ubaidah al-Jarrah dan sebagainya dinanti-nantikan muncul kembali. Mustahil? Diri kita yang

menjadi penentu segalanya. Firman Allah dalam al-Quran :

Allah berfirman (Al-Imran : 110):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Terang dan jelas. Kita umat yang terbaik. Umat Islam sepatutnya lebih merasai apabila disebutkan istilah ‘cream of the cream’ ini. Ayat ini menjadi bukti. Bagaimana kemuliaan itu hadir? Ketika kita menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang munkar. Bukan ketika kaya, harta melimpah ruah, profession yang memukau, kereta yang besar, penganugerahan pangkat yang hebat dan pelbagai lagi nikmat dunia. Mulianya hidup bersulam taqwa. itu hakikat dan realitinya.


Satu seruan buat sekalian teman dan taulan. Ayuh bergerak mencari kemuliaan yang lebih mulia. Gerakkan jiwa-jiwa kita yang kosong dan kering ini menjadi besar, berani, dan penuh dengan ambisi. Jangan takut, segan dan malu tidak bertempat. Isi jiwa dengan iman dan mengenal diri. Ketahuilah hakikat kejadian manusia ke alam ini akan tujuan dan tanggungjawabnya. Dalam pelbagai bidang dan jurusan. Kedoktoran, engineering, lawyer, farmasi, seni lukis, akauntan, pilot, dan pelbagai lagi. Beramallah menerusi bidang-bidang kalian ini. Moga amal yang dilakukan bisa menjadi saksi dan bukti akan ketundukan kita kepadaNya.


Peka dan sensitif.


Salam hormat.


Friday, June 12, 2009

Wahai Pemuda



Wahai Pemuda

Salam ukhwah.

Kali ini, sebagai satu seruan buat diri penulis sendiri dan juga buat sekalian pemuda atau mereka yang masih mahu menggelar diri mereka sendiri PEMUDA, yang bertebaran di atas muka bumi ini. Disebut sahaja pemuda, apa yang tergambar adalah satu figure dengan susuk tubuh yang kental dan dan semangat yang berkobar.Ya, secara asasnya itu adalah pemuda. Ciri-ciri fizikalnya begitu. Maka dengan elemen yang ada itu, pemuda cukup pantang menyerah sebelum ajal. Melihat kembali sejarah, pemuda adalah teras kepada satu kebangkitan dan pintu kepada kegemilangan. Sama ada pemimpin sekular, komunis, duniawi, mahupun pemimpin dengan teras agama, semua meyakini akan kekuatan dan kepentingan pemuda ini. Itulah sebabnya, semenjak dahulu lagi, pemuda menjadi tiang pasak kepada sebuah masyarakat, tamadun, dan peradaban. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

Pemuda pada masa kini, lahir ditengah-tengah masyarakat yang rosak. Ibarat barah, yang semakin hari semakin kronik. Lihat sahaja di sekeliling kita. Jika pada umur 13 tahun, subah boleh bunting hasil perkongsian haram, tidak rosak jadinya? Jika lelaki dan perempuan, muda mudinya bebas melakukan apa sahaja, tanpa segan silu, tidak haru biru lagaknya? Jika korupsi menjadi-jadi dan janji-janji pemimpin hanya tinggal janji, tidakkah menyusahkan rakyat namanya? Apatah lagi apabila Al-Quran dan sunnah jauh dari diri, kita lupa matlamat wujud ke dunia ini.

Maka, haruskah kepekatan malam yang panjang ini dibiarkan terus begitu? Bila dan bagaimana mahu disinarkan kembali cahaya Syahadah? Siapa mahu melaksanakannya. Masyarakat ini perlu diubati tentunya. Itu satu kemestian. Jika orang yang demam diberi penawar, masakan masyarakat yang sakit dan rosak ini hendak dibiarkan begitu sahaja. Pemuda adalah jawapannya. Sirah telah menunjukkan segalanya. Teras kepada kejayaan dakwah nabi kerana kesungguhan pemudanya. Ali, Suhaib Ar-rumy, Salman Al-Farisi, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi tokoh pejuang agama era sahabat terdiri daripada pemuda. Meski Abu Jahal itu pemimpin utama, namun bukan dia yang menjadi teras agama ini. Mahu Allah tunjuk kepada kita, memang pemuda menjadi teras dan pengubat buat agama ini.

Allah berfirman (Al-Imran : 110):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.


Ayat daripada surah ini perlu sekalian pemuda hayati bersama. Buka sejenak minda dan lapangkan hati kalian. Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya kita adalah sebaik-baik umat. Kita makhluk terbaik di alam ini. Kita termulia. Kebaikan dan kamuliaan ini bukan dikurniakan kerana kayanya kita atau kerana besarnya pangkat atau hebat pekarjaan yang dimiliki. Mulia kita ini karana kita menyeruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, serta hidup dalam keadaan beriman kepada Allah. Ini matlamat hidup dan tujuan kejadian manusia yang mahu Allah ingatkan buat kita dan mahu kita beramal dengannya. Hidup ini tidak lama. Akhirat itu pasti akan kita laluinya. Itu hari perhitungan dan pembentangan amal yang kita laksanakan di dunia ini. Maka apabila kita tahu akhirat itu pasti, mengapa tidak mahu kita bersedia kearahnya? Apa yang mahu kita persembahkan nanti? Anak-anak, kereta besar, pangkat, jawatan, duit, senjata, rumah, harta, dan pelbagai lagi nikmat alam ini sudah tidak bermakna lagi. Hanya amal kita berdasarkan apa yang Allah mahu akan dinilai dan diterima. Apa yang Allah mahu? Ayat di atas tadi menceritakan segalanya.


Ambil masa yang ada dan renungi kembali akan hari-hari yang telah berlalu itu. Berapa banyak telah dihabiskan untuk beramal dan berapa banyak yang tersia-sia. Bangkit kan roh dan semangat kita berteraskan kesyumulan Islam ini wahai pemuda. Moga kita bisa menjadi satu ejen perubah buat umat yang kian tenat ini.


Usah terus terleka.


Salam perubahan.

Tuesday, June 9, 2009

Antara Cegah Dan Rawat Buat Ummat.

Salam ukhwah.

Cegah atau rawat?Istilah-istilah yang cukup sinonim dalam dunia seorang doktor. Kedua-dua method ini digunakan bagi melawan penyakit. Itu adalah objektifnya. Meskipun kita melihat bidang kedoktoran merawat penyakit zahir badan, namun bagaimana pula dengan penyakit ummat? Ummat ini sebenarnya menanggung kesakitan yang amat sangat. Jika ummat ini sihat, mana mungkin penindasan terhadapnya berlaku di seantero dunia. Tragedi di bumi Afganistan itu contoh termudah. Jika sungguh-sungguh kuat, tentunya kebejatan sosial dalam kalangan remaja tidak seteruk kini. Pusat serenti pasti tidak akan didominasi penghuni Melayu yang rata-ratanya adalah muda-mudi kita. Jika kita mahu membicarakan soal masalah ini, sampai kesudah masih kekal bagini. Lalu, bagaimana solusinya?

Di sini terletaknya beza antara kaedah cegah dan rawat. Satu analogi mudah. Apabila seseorang individu ditimpa penyakit demam, dia akan memilih panadol sebagai ubat. Jika seorang wanita atau jejaka mengalami obesiti, ubat kurus menjadi pilihan mereka untuk kembali lansing dan ramping. Puluhan malah ratusan ringgit sanggup dihabiskan demi mengatasi dan menyelesaikan masalah kesihatan mereka.

Berbeza pula halnya dengan kaedah cegah. Mereka tidak perlu makan panadol untuk kekal sihat dan tidak perlu juga membelanjakan wang yang ada agar tidak mati dek kerana obesiti. Langkah mengatasinya dipraktikkan sejak dari awal. Mereka akan mengamalkan gaya hidup sihat. Telah jelas dalam minda mereka, mengapa mereka perlu berusaha untuk kekal sihat dan cergas sepanjang hayat. Maka, amalan hidup mereka akan sentiasa berkaitan dengan kejelasan tersebut. Mereka bersenam seawal usia muda paling kurang 3 kali seminggu,memakan makanan yang seimbang gizinya, dan pelbagai lagi. Mereka berusaha mencegah masalah dari awal.

Hakikatnya, umat ini juga begitu. Langkah praktikal untuk memulihkan ummat adalah dengan menjelaskan kepada mereka akan matlamat kejadian dan kehidupan mereka di alam ini. Mereka perlu faham mangapa mereka dicipta dan natijahnya. Maka, apabila kefahaman dan kejelasan matlamat kehidupan itu ada, segala tindak tanduk akan berkaitan dengan kedua-dua elemen tadi. Apabila mahu merokok misalnya, terlintas dalam fikiran, adakah ini matlamat dijadikan? Sekadar merokok? Ini akan membangkitkan keupayaan dalam diri untuk menolak rokok itu. Tidak perlu menghabiskan ribuan ringgit dalam modul pembangunan modal insan yang masih tidak tentu matlamatnya menerusi pelbagai kempen dan seumpamanya. Kerana kumpulan sasarannya masih tidak jelas mengapa mereka perlu berubah.

Sedangkan kaedah rawat akan digunakan setelah masalah berlaku. Apabila tersiar berita pembuangan janin di dada-dada akhbar, barulah heboh dibincangkan. Bermula dari anjung-anjung surau, ceruk-ceruk kedai kopi, sehinggalah ke peringkat jabatan dan kementerian kerajaan. Semua mahu menunjuk prihatin dan tampil dengan pelbagai teori penyelesaian. Baru dikeluarkan arahan dan surat-surat pekeliling mengarahkan penguatkuasaan disiplin diperketatkan. Pelbagai kempen direncana dan dilaksana. Namun,hanya sekadar merawat. Remaja-remaja itu masih tidak faham mengapa perlu berubah. Lalu, masalah terus berulang. Tidak kiralah siapa memegang tampuk pemerintahan atau parti mana yang menduduki majoriti kerusi parlimen, masalah dan kaedah penyelesaian masih sama. Mereka hanya memikirkan isu sama. Ibarat tiada kemajuan jadinya.

Demikian beza antara cegah dan rawat. Mencegah melahirkan individu dengan mentaliti yang proaktif. Mengambil langkah awal. Mereka memahami punca masalah meskipun masalah itu belum berlaku. Sedangkan, merawat melahirkan insan dengan minda gemar menanti kesan terlebih dahulu, kemudian baru bertindak.

Inilah method perubahan yang mahu dibawa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam menyelesaikan masalah kebejatan sosial buat ummat tercinta ini. Kaedah yang digunakan adalah mendidik jiwa kanak-kanak, remaja, belia, wanita, dan orang dewasa akan tujuan dan hakikat kejadian mereka. Mengenali diri dan mengenali Pencipta. Asas-asas Islam diterapkan dalam jiwa. Sebagaimana para sahabat dalam era awal dakwah disampaikan. Jiwa mereka dididik mengenal shahadah, fungsi dan tuntutannya. Mus'ab bin Umair, Umar al-Khattab, Zaid bin Harithah, Bilal bin Rabbah, Abu Ubaidah dan ramai lagi. Semua melalui proses ini. Mereka berubah dari individu yang tiada apa-apa, kepada individu yang mendokong risalah Illahi. Nama-nama itu disebut sehingga kini. Natijahnya, asas yang kukuh dibina bagi memperjuangkan agama.

Islam akan hanya bangkit dengan individu dan jalan itu. Masalah sosial akan bisa diatasi dengan mendidik jiwa umat dan diterapkan asas-asas Islam. Itu sahaja methodnya.

Mencegah itu lebih utama.

Salam perubahan.