Monday, April 6, 2009

Neraca Alam

Salam buat sekalian pembaca.

Menjadi satu tabiat sumulajadi manusia, gemar membanding beza antara satu sama lain. Pantang melihat sasuatu perkara yang berbeza, mereka pasti akan cuba menimbangnya, menggunakan neraca sendiri mungkin, untuk mengetahui, mana yang lebih baik, mana yang lebih mulia, dan mana yang akan lebih disanjung. Begitulah secara mudahnya, mengapa menusia gemar membuat perbandingan. Dalam pada perbandingan itu dibuat, apa yang memusingkan pemikiran penulis adalah, atas paksi apa perbandingan itu didirikan? Apa yang menjadi tunjang kepada perbandingan itu? Paksi nafsu, paksi keilmuan, atau paksi keimanan?

Adalah menjadi impian sekalian ibu bapa, guru dan juga pelajar tentunya, untuk memiliki keputusan terbaik dalam peperiksaaan awam.12 A, 17 A, dan 21 A adalah satu kejayaan terbesar dalam hidup dan menjadi dambaan sekalian pelajar. Minda masyarakat menganggap, itu adalah puncak sekalian kejayaan. Manakan tidak, tatkala memperolehi sedemikian keputusan, tawaran datang bagai air yang pecah dari empangan. Liputan media tidak kenal erti jemu, bagi mengorek sekalian rahsia yang tersimpan disebalik tirai kejayaan itu. Sebaliknya, buat individu yang hanya terisi 1 hingga 6 A sahaja dalam slip mereka, dunia seakan sesepi padang pasir. Nama mereka tidak terlakar dalam lipatan sejarah akhbar arus perdana negara dan mungkin juga, dunia tidak terkesan dengan kewujudan mereka.

Begitu juga halnya, dengan sekalian teknokrat yang ada. Memiliki kerjaya semewah dunia disamping sekalian hartanya juga merupakan dambaan kita. Masyarakat menganggap apa-apa pun kerjaya yang diceburi, gajinya perlu mewah. Dompetnya perlu sentiasa terisi. Contohnya, pelajar daripada sekolah kerajaan tentunya akan lebih dipandang berbanding pelajar sekolah agama rakyat. Dalam minda masyarakat telah tersemat rapi, masa depan pelajar sekolah agama rakyat tidak ke mana. Timbangan sebegini dilatari dengan satu tafsiran yang silap. Apabila dunia menjadi ukuran, beginalah jadinya.

Adakah sekalian harta yang kita kumpul di dunia ini, bernilai ketika menghadap Illahi? adakah memiliki kerjaya yang kecil itu merupakan satu kehinaan? Adakah menjadi satu kehinaan jika memperolehi keputusan peperiksaan yang menyedihkan? Adakah ekonomi kapitalis, yang menjadi tunjang dan kebanggaan sekalian negara, bisa bernilai di ladang akhirat? Adakah dengan meletakkan dunia sebagai paksi penilaian, mampu membawa kepada kejayaan nan abadi? Bagaimana pula dengan neraca Illahi? wajarkah diketepikan? Neraca yang sentisa menuntut keikhlasan di dalam setiap amalnya, haruskah diabaikan?

Ini adalah satu persoalan yang wajib diselesaikan. Apabila bertembung antara neraca dunia dan Illahi, manakah yang perlu diikuti? Masyarakat perlu mengubah tafsiran sebegini. Tidak salah sekiranya hidup dengan kerjaya yang tidak seberapa, asalkan hati sentiasa patuh kepada Pencipta dan meninggalkan segala larangannya, itu adalah lebih mulia berbanding memegang dunia, namun amalnya tidak seberapa.

Lihat sahaja saudara di Gazza, harta tiada, negara dirampas, saudara dibunuh dan sebagainya. Namun, merekalah yang Allah sebut sebagai golongan yang mendapat sekalian nikmat di syurga kelak. Hanya kerana mereka mempertahankan iman, dan berusaha membebaskan bumi yang sememangnya milik mutlak umat Islam itu. Bagaimana pula kita? Muslim yang tinggal di negara penuh kemewahan an nikmat ini. Jika masyarakat Gazza boleh mempersembahkan hasil perjuangan mereka dihadapan Allah, bagaimana pula kita? Apa yang akan dipersembahkan? Kejayaan memenangi gangsa dalam lumba basikal dunia? Rangking nombor satu perseorangan badminton dan squash? Hasil dapatan tahunan Petronas? Jumlah pelajar memperolehi straigh A dalam PMR dan SPM? atau pemenang dalam pilihanraya Bukit Gantang di Perak ini?

Marilah mencari kerjaya yang apabila dipersembahkan di akhirat kelak, kita bisa tersenyum melihatnya.

Carilah neraca terbaik.

Sekian

No comments: