Friday, February 6, 2009

Penduduk Gaza:Masyarakat Idaman Ummah


Salam persaudaraan buat semua.


Masyarakat Gaza MENAKJUBKAN. Itu adalah kata-kata terbaik yang mampu penulis sampaikan tentang mereka. Walaupun dibedil, dijarah, dan dinafikan haknya ke atas bumi sendiri, namun mereka tidak pernah mengalah. Mereka telah disarankan agar meninggalkan Palestin sewaktu pertempuran berlaku. Hal ini kerana bantuan tidak dapat disalurkan. Sempadan Raffah di Mesir telah menyekat bantuan buat mereka. Tambahan pula, serangan yang dilakukan oleh Israel amat dahsyat dan tidak adil. Apabila dibuat perbandingan daripada aspek material, bilangan tentera, dan kekuatan duniawi, sememangnya kemenangan akan dikatakan memihak kepada Zionis. Namun, hakikatnya tidak. Masyarakat Gaza masih terus berjuang dan tidak mahu berganjak walau seinci untuk memberi tanah mereka kepada Zionis. Satu rangkaian soalan bermain dalam minda masyarakat.Mengapa Penduduk Gaza bertindak sedemikian? Apakah yang menjadi pendorong buat mereka? Tidak pernahkah terlintas dalam jiwa mereka rasa letih akan perjuangan yang berat sebelah ini? Atau sememangnya mereka tidak memiliki pilihan lain melainkan terus berjuang.


Bagi penulis, jawapannya cukup mudah namun padat dengan pengertian. Walaupun dari aspek peralatan mereka tidak cukup, tetapi daripada satu aspek lain yang lebih besar, mereka telah cukup bersedia. Hati dan jiwa mereka telah dibina dengan cukup kukuh dan ampuh. Apakah teras kepadanya? Iman semestinya. Keimanan dalam jiwa mereka telah membunga dan akhirnya melahirkan rasa cinta akan agama, cinta akan perjuangan, dan cinta akan mati.


Satu analogi yang cukup mudah buat semua. Cuba bayangkan satu pokok yang besar dan gagah. Dahannya besar, tinggi, dan daunnya merimbun lantas mampu memberi keredupan buat penduduk alam. Namun, disebalik kenikmatan itu, ramai yang terlupa memerhatikan akarnya. Pokok itu memiliki akar yang besar, kukuh, dan mencengkam jauh ke dalam tanah dan membolehkan ia bertahan dan kukuh daripada kencangnya angin bertiup. Masa yang cukup lama diperlukan oleh sesebuah pokok untuk sampai ke tahap ini.


Begitu juga dengan masyarakat Gaza. Pendidikan pembinaan iman dan takwa yang mereka timba sudah cukup lama dan sebati dalam diri mereka.Masa muda tidak dihabiskan dengan berhibur semata-mata. Mereka telah lama menyedari bahawa sesungguhnya dengan membina dan mematangkan iman itu akan bisa memberi kekuatan buat mereka terus berjuang. Sewaktu majoriti muda-mudi dunia sibuk bergembira yang akhirnya membawa penyakit cinta akan dunia dan takut akan mati, pemuda-pemudi di Gaza pula sibuk menyuburkan iamn di dada agar terus berani untuk syahid. Betapa istimewanya mereka.


Iktibar yang dapat kita ambil selaku pejuang barisan belakang ialah tidak dapat tidak, isu iman perlu diselesaikan terlebih dahulu. Buatlah pelbagai kempen, kem-kem jatidiri, seminar-seminar pembentangan kertas kerja dan simposium cendekiawan bersama negarawan, serta laburkanlah berjuta-juta duit negara dengan alasan membina modal insan terbilang, namun sekiranya isu iman diabaikan, ibarat menunggu kucing bertanduk tindakan kita.


Masyarakat Gaza adalah model terbaik. Sepatutnya semua muslim perlu bergerak ke arah itu. Bina iman kita. Kini Gaza berperang. Siapa tahu suatu hari nanti giliran Malaysia pula berjuang. Giliran Malaysia pula ditindas dan lebih penting, giliran Malaysia pula untuk melahirkan syuhada dambaan syurga. Jangan kita kata diri ini beriman walhal, kita belum diuji.


Siapa tahu.


Sekian.

No comments: