Friday, December 18, 2009

Daie : Personaliti Solusi










Salam sejahtera.








Acap kali, masalah itu muncul dalam kehidupan. Kadang kala, kita mampu menduganya. Ada juga ketika sang masalah bertandang tanpa dijemput. Kejernihan minda bertukar keruh tatkala berhadapan dengannya. Jiwa yang riang bertukar walang dek kerananya. Memang itu sunnah kehidupan. Menyoroti lipatan sejarah, pelbagai masalah telah berlaku. Bermula daripada penciptaan Adam, yang mana kebiadapan Iblis menjadi punca masalah, seterusnya kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh sekalian nabi dan rasul dalam menyebarkan agama Tauhid dan juga mehnah-mehnah yang perlu dilepasi oleh para penyeru agama Allah. Pelbagai natijah bisa terhasil daripada kepelbagaian masalah ini. Ada yang perlu mengorbankan jiwa dan nyawa demi melepasinya. Seperti rasul-rasul yang dibunuh oleh pengikut mereka atau figure seperti Hasan al Bana, Syed Qutb, Ahmad Yassin, Aziz Rantisi, atau para syuhada' bumi perjuangan, Palestin yang membayar mahar mengatasi masalah ini dengan darah.








Apabila kita bertemu masalah atau masalah bertemu kita, sering minda ini kosong. Dengan erti kata lain, tidak tahu apa yang harus dilakukan atau tidak dapat membuat keputusan yang terbaik bagi mangatasinya. Kerana emosi, kita akan hilang pertimbangan. Berdasarkan satu kajian yang mudah, ayuh kita lihat, bagaimana kita berdepan dengan masalah dan tentukan dimana diri kita.








1) PROBLEM MAKER




Ini adalah golongan pertama. Golongan yang mencetuskan masalah. Golongan yang membuat masalah. Apabila ada masalah yang berlaku, mereka yang menjadi puncanya. Gemar menghuru-harakan situasi dan amat-amat tidak gemar apabila melihat orang lain berjaya. Hasad yang ada di kalbu menebal. Abu Jahal itu contoh termudah. Mengapa dia menentang Islam? Adakah dia tidak faham ayat-ayat al-Quran? Sedangkan dia juga bertutur dalam bahasa Arab. Dia bukan sahaja memahami ayat-ayat itu, bahkan sangat arif dengannya. Kedengkian yang ada dalam jiwa menyebabkan dia menolak segala kebenaran. Lebih menyedihkan, menjadi pelopor kepada gerakan menghancurkan dakwah nabi. Ini masalah yang dia timbulkan.








2) PROBLEM SPEAKER




Ini yang seterusnya. Cakap, cakap, dan cakap. Cukup gemar bercakap. Namun, sekadar cakap-cakap. Tidak lebih dari itu. Apabila timbul masalah atau cubaan, hanya tahu mengulas dan memberi pendapat. Dipanggil sekalian wartawan media massa dan diadakan sidang akhbar. Sebagai platform baginya menzahirkan pendapat yang ada dan bagi mendapatkan tumpuan. Masalah itu sebagai batu loncatan baginya meraih populariti dan pengikut. Lihat sahaja sekalian politikus yang ada. Cukup bijak mengambil peluang dan tidak teragak-agak memijak orang lain atas kesalahannya demi kepentingan pribadi. Apabila hajat sudah dikecapi, dia akan puas hati, namun, masalah tinggal masalah. Lihat sahaja rakyat kita. Berapa banyak janji ditabur. Kebajikan rakyat mahu diutamakan. Namun, yang melarat kian melarat. yang kais pagi makan pagi dan kais petang belum tentu makannya juga ada. Melihat daripada angka bajet kewangan, memang rakyat akan dibantu, namun, ke mana perginya angka yang mangaburkan itu. Sekadar satu lontaran. Tidak berniat penulis menujukan kepada sesiapa, hanya mahu bersama-sama membuka minda dan perhatikan perubahan persekitaran kita. Begitu juga dalam jalan dakwah ini. Berapa ramai yang mampu berbicara tentang kepincangan sosial yang berlaku dan keluar dengan pelbagai teori perubahan. Habis kertas kerja dibentang. Hebat planning dirancang. Moga daripada setiap kekhilafan kita,Allah susuli dengan keampunan dariNya.








3) PROBLEM TRADER




Pengkhianat. Ini kalimah termudah menggambarkan siapa mereka. Rela menjual dan menggadaikan maruah. Sanggup menceritakan masalah kepada pihak ketiga untuk memalukan pihak yang bermasalah. Sesuai dengan kalimah 'trader' itu sendiri, keuntungan adalah matlamat daripada apa yang dilakukan. Duniawi adalah citra tertinggi baginya.








4) PROBLEM SOLVER




Bagai penyuluh dalam gelap malam yang panjang. Dunia telah menyaksikan, bagaimana masalah yang mampu di atasi oleh insan-insan superb bisa menjelmakan satu dimensi kehidupan yang baru. Penuh dengan kejayaan. Lihat pada Abu Bakar. Selepas wafatnya baginda Rasul, berapa ramai umat yang murtad. Menganggap Islam itu ketika wujud ketika bersama nabi sahaja. Kroniknya masalah ini dapat dihidu oleh beliau lantas mengambil keputusan menyegerakan penyelesaiannya. Sesiapa tidak mahu kembali kepada Islam, hanya hukuman bunuh menanti. Meski ada sahabat yang kurang bersetuju, namun atas ketegasan Abu Bakar, masalah dalaman dapat di atasi lanta kesannya? Pada zaman Umar, amat pesat perkembangan Islam. Berapa banyak negara Islam baru telah dibuka dan dari sudut ekonomi juga ketenteraan, pembaharuan telah dibuat. Umar seorang 'revolutionist'. Hebat dalam merintis pembaharuan dan kemajuan. Hal ini telah dimudahkan dengan tindakan Abu Bakar yang seorang 'visionist'. Bijak meramal masa hadapan. Para sahabat telah menggunakan kelebihan mereka menyelesaikan masalah untuk memenangkan Islam.








Sahabat sekalian,








Bagi seorang dai'e, yang mana satu personaliti perlu kita bina? Dai'e itu centre of attraction. Manusia pasti mahu merujuk kepada diri dai'e. Maka, masalah memang akan dihadapi. Lantas solusinya? Lari? Wajarkah batu bata kepada binaan Islam bersikap demikian?








Adakah kau dai'e?








Salam hormat.

PERHATIAN!!!!

SALAM
KEPADA LEPASAN SPM 09, SERTAILAH KEM LEPASAN SPM SESI 2009 ANJURAN PERSATUAN BELIA ISLAM NASIONAL. SEGALA MAKLUMAT LANJUT BOLEH DIDAPATI DI http://www.kemlepasanspm.blogspot

Wednesday, December 2, 2009

Jasad Dan Roh


Salam buat jiwa-jiwa yang hidup.

Bagai mayat saja lagaknya kita. Demikian umat ini, kini. Tanpa ketuanan, tanpa negara sendiri, terhakis jati diri dan identiti, hidup merempat atas ehsan dan kuasa yang ada pada musuh, bercakaran sesama sendiri, dan lena dengan mimpi dunia yang singkat.Dan, apabila dipukul, rebah, apabila disogok, menggelabah. Memiliki penganut seramai hampir 1/3 populasi dunia, tidak membawa sebarang erti. Dianugerahi dengan simpanan minyak yang cukup luas saiznya, akhirnya dijual buat laba kuasa-kuasa hagemoni dunia. Bercakap pula tentang ganerasinya, satu keluhan kedengaran. Bagaimana dapat bangkit, jika tubuh yang sasa tumbang kepada sepuntung rokok dan sebiji estacy? Sampai bila harus ditunggu siapnya angkatan pemuda, jika ramai tersadai di pusat-pusat pemulihan akhlak, rumah-rumah pengasih, atau sekadar terlantar di penjuru kaki lima, menanti disentak Izrail.

Itu realiti. Miliki jasad, tanpa roh. Wujud dengan gagah secara zahirnya, dengan batin yang merana.

Duhai sahabat yang mulia,

Berbicara mengenai roh, apa significannya akan kebangkitan umat ini dan bagaimana mengembalikannya?

Secara mudah, ayuh kita lihat dari sudut ilmu sains. Mampukah satu-satu jasad hidup tanpa roh? Tidak bukan. Kematian itu sendiri ditakrifkan sebagai berpisahnya roh daripada badan atau jasad. Demikianlah satu perumpamaan dibuat akan umat ini. Umat Islam tentunya. Roh yang wujud dalam jasad umat, mampu memberi kekuatan dan daya tolakan yang kuat untuk mengharungi dan menongkah arus duniawi. Ia manggerakkan dan menghidupkan anggota umat untuk peka akan situasi diri semasa, sedar akan hakikat yang ada, lantas disolusikan dengan tindakan yang realistik. Bersesuaian dengan realiti semasa. Jasad pula yang akan berhadapan dengan alam. Dengan dunia. Tiada erti tanpa salah satunya.

Satu pendekatan bagi mengembalikannya:

1) Roh itu hilang, antara sebabnya, kita sendiri lupa atau meninggalkan malah menafikan, akan kegemilangan dan ketamadunan yang telah dirintis dan dibina. Kita pernah berjaya, gemilang memacu dan mengemudi dunia menuju negara akhirat. Dengan iman, amal, dan ilmu membangunkan sebuah tamadun. Kita dijadikan rujukan malah dihormati kawan mahupun lawan. Sejarah ini tidak mungkin terpadam dan akan kekal terpahat pada dinding kehidupan, menanti untuk berulang kembali. Mempersiapkan diri dengan memahami sejarah islam secara keseluruhan, umpama memanggil roh pulang ke jasad. Ia akan kembali.

2)Memahami realiti umat masa kini, akan punca, akibat dan langkah praktikal menanganinya. Ramai dikalangan kita yang tidak ambil kisah langsung akan problemisasi umat ini. Ditanya akan isu Palesin, tidak tahu, bila tarikh runtuhnya khilafah Islam, tidak tahu, siapa tokoh Islah dan perjuangan, tidak tahu, mana satu negara Islam, entah apa-apa negara yang disebutnya. Tidak tahu wujud atau tidak. Jangan disalahkan jika anak-anak kita tidak tahu segalanya. Tanyalah, bagaimana kita mendidik mereka. Kita perlu banyak mencari ilmu dan maklumat tentang situasi saudara seakidah kita. Sebagai tanda peduli dan bagi mengembalikan roh ke dalam jasad umat ini. Perlu kita bertindak sebagai pusat rujukan tentang isu-isu agama kita. Bayangkan, sebagai contoh, jika kita belajar di negara asing, lalu satu hari, kita ditanya tentang apa itu Islam. Tentang Palestin. Sama ada di dalam dewan kuliah mahupun oleh teman-teman. Lebih parah, jika soalan itu terpancul daripada mulut orang bukan Islam. Tidakkah kita telah memberi satu gambaran yang negatif akan sikap umat Islam itu sendiri?

3)Beramal dengan ajaran agama dengan sebaiknya. Jadikan al-Quran sebagai bacaan harian. Tidak perlu banyak. Yang penting, istiqamah. Jangan cepat jemu dan mengeluh. Kaji maknanya dan cuba beramal semampu mungkin. Bersegera kepada kebaikan. Dan yang lebih mulia, meletakkan diri kita sebagai antara batu-batu kepada binaan Islam. Menjadi penggerak kepada keja-kerja mendaulatkan dan meninggikan kalimah Illahi. Meskipun kita seorang remaja, pelajar, atau yang sudah dimamah usia. Berusahalah mencarinya.

Duhai teman,

Jangan jadikan entri kali ini, sekadar untuk menyentuh jiwa. Jangan sekadar bersetuju. Bukan salah, kuatir tidak memadai. Mengapa tidak bersama beramal dan bargerak kepadanya, wahai sekalian sahabat.

Dunia ladang akhirat.

Salam berkerja.

Wednesday, November 11, 2009

Ibadah : Manifestasi Seorang Hamba

Salam buat kesekelian kalinya.

Selagi darah mengalir, degup jantung tiada hentinya, rona mata jelas melihat, seiring dengan putaran masa itu sendiri, selagi itu tuntutan amal menjadi satu kebutuhan. Tatkala hentinya nafas, tidak berfungsinya valve, dan tiada signal dihantar ke receptor, menyebabkan segala impulse menjadi palsu semata, lalu terangkatnya roh dari jasad, tika itu, hanya hitungan dan pengadilan menanti. Taubat dan tangis sesal tiada erti di sisiNya.


Menyedari maut memang pasti dan bimbang tidak sempat melihat Rumah Illahi, ramai manusia mengejar kesegeraan ibadah haji. Terutama yang muda. Menjadi satu fenomena dewasa ini, negara menyaksikan lahirnya ramai haji dan hajah muda. Umur tidak sampai setengah usia, gelaran haji dan hajah telah ditagih sebutannya. Pengalaman kehidupan tidak seberapa, namun kelima-lima rukun telah disempunakan. Demikian pada hematnya. Lalu kita akan menyaksikan insan yang merasakan dirinya telah sempurna. Kerna apa? Manakan tidaknya, jika kelima-lima rukun Islam telah selesai, tidakkah bemakna Islamnya juga telah selesai? Telah sempurna. Sampai ke tahap jauh dari orang lain. Stigma sebegini yang pada hakikatnya, terpasak kukuh dalam mentaliti umat. Melayu terutamanya. Ini hakikat yang berlaku. Skop pandangan terhadap ibadah, terutamanya haji, sebagai penutup amal. Macam penutup botol. Tidak lengkap tanpanya.
Ibrah dan kekuatan yang sepatutnya terbina daripada beribadah kepada Rabb seperti berteriak ke padang pasir ditengah kepekatan malam. Tiada hasil mahupun kesan. Sia-sia.

Menyoroti kembali fungsi dan dalil beribadah itu sendiri, perlu kepada keterbukaan dan kejelasan matlamat kehidupan.'wa mal kholaktu aljin wal ins illa li ya'budun'. Demikian firman Allah dan dalil manusia beribadah. Itu juga sebagai ghoyah(matlamat) penciptaan manusia ke alam ini. Ibnu Taimiyah, saat ditanya, apa itu ibadah, dijelaskannya ibadah amat luas ruang lingkup dan maksudnya. Ibadah ritual, solat, puasa, haji, zakat, adalah kewajipan. Ibadah sunat, puasa sunat, solat sunat, adalah contohnya. Ibadah yang melibatkan hubungan sesama manusia, seperti bersedekah, mengajar, menyelesaikan pertelingkahan antara dua saudara, membuang duri di jalanan, dan seumpamanya. Hatta beliau memberi kesimpulan, seluruh ruang lingkup kehidupan ini, merupakan wadah dan peluang untuk beribadah. Sampai ke saat tidurnya juga, ibadah itu mampu terlaksana. Tidak terikat ibadah itu dengan hanya dalam mahupun sekitar masjid sahaja.

Ibadah adalah satu proses perhambaan diri kepada Pencipta. Kepada Allah YAng Esa. Satu bentuk penyerahan diri secara total. Menjalinkan satu ikatan daripada hamba kepada Penguasanya. Menundukkan diri dengan penuh kepatuhan, ketaatan, kehinaan, dan kesungguhan disamping disulami dengan ketinggian rasa cinta kasih dan rindu kepadaNya. Maka rasa kerendahan dan cinta kasih ini dijelmakan dalam bentuk ibadah. Dan ibadah itu pula, seperti yang dibicarakan tadi, amat luas ruang lingkupnya. Seluas kasih-sayang Allah itu sendiri. Daripada amalan wajib, sunat, ketika bekerja, ketika belajar, ketika memasak, ketika memandu, menjaga anak, bermesyuarat, memerhati alam, melancong dan pelbagai lagi. Pendek kata, segala apa yang dilakukan, selagi tidak bertentangan dengan nas-nas syar'i, membawa kebaikan, dan yang paling penting, elemen tunduk dan cinta kepada Allah itu wujud, dikira ibadah. Luas bukan?

Salahkah kita mengatakan diri kita ini hamba? Kita ini hamba. Hamba ini orang suruhan bukan? Kerjanya menurut perintah. Jika kita belajar dalam hierarki masyarakat dunia, golongan hamba ini letaknya paling bawah sekali. Di atasnya ada pemerintah, bangsawan, cendekiawan, kesatria, artisan, ahli tukang, orang awam, dan akhir sekali, baru hamba. Hamba ini golongan yang diperdagangkan. Jika tidak dapat membayar hutang, penjenayah, atau miskin yang mungkin di bawah paras miskin tegar, maka, menjadi hamba. Mengapa ada yang menafikan bahawa kita ini hamba? Adakah sama hamba kepada Allah dengan hamba dalam sistem manusia? Mungkin ini faktor penolakannya.

Hamba kepada Allah, sebagaimana yang dinyatakan tadi, satu manifestasi kepatuhan dan ketundukan serta cinta kasih yang melangit kepada Ilahi. Dengan manifestasi ini, darjat manusia itu akan terangkat dengan sendirinya disisi Illahi. Manusia akan mencapai kemuliaan dalam kehidupan. Jiwa manusia akan bangkit dan bebas serta menundukkan dan menafikan segala macam kepalsuan dan kehinaan dalam kehidupan. Bukan dengan nilai harta yang tinggi, ilmu yang melaut luas, anak-pinak yang semuanya menjadi, kukuhnya kedudukan di dunia, dalamnya cengkaman kuasa, besarnya pengaruh, dan hebatnya penghormatan yang diberikan manusia. Namun, dengan menghambakan diri kepada Allah sahaja jalannya. Dan perhambaan ini tidak menolak dunia sama sekali. Orang yang menghambakan diri kepada Rabb akan mendapat harta, ilmu, anak, kedudukan dan lain-lain nikmat kehidupan. Menifestasi ini bukan menutup, malah membuka seluas-luasnya peluang yang disertai dengan usaha kepada kejayaan. Usah gusar. Lihat sahaja bukti pada sejarah itu. Kepatuhan para sahabat kepada Allah dan rasul tidak menghalang mereka kepada harta dan kekayaan serta kekuasaan. Kerajaan Rom dan Parsi yang agung itu tunduk di bawah kekuatan dan kekuasaan mereka. Mereka menaklukinya. Benar bukan? Genggamlah dunia, asalkan tidak di hati.

Sedangkan, perhambaan kepada manusia tidak lain hanyalah bersifat kebendaan dan material. Harta dan kuasa yang menjadi penentu kepada darjat dan martabat. Hina dan mulianya manusia amat bergantung kepada neraca itu. Sebenarnya, alam konteks ini, manusia telah menghambakan dirinya kepada harta dan dunia. Hidup berorientasikan usaha meningkatkan dan mengaut harta sebanyak mungkin. Amat rugi. Nilai ibadah itu akan jauh dari diri.

Maka ayuh kita buka minda seluas-luasnya. Akan hakikat dan matlamat ibadah itu dan kaitannya dengan konsep perhambaan kepada Yang Khaliq. Buka pintu hati untuk cuba memahami lantas beramal bengannya. Moga-moga, kita ini bersama terpilih dalam golongan yang bisa dicampakkan dalam sanubarinya erti iman dan taqwa yang sebenar.

Sahih dalam beribadah.

Salam perhambaan.

Saturday, September 26, 2009

Hidup Yang Sempurna


Hidup di Malaysia nan indah dan permai. Sentosa saja gaya dan rasanya. Begitu secara mudah dapat diungkap tentang bumi pertiwi ini. Dek kerana keindahan, kepermaian, dan kesantosaan ini, kita dididik dalam suasana dan latar sosiomasyarakat yang mudah dan terlalu mudah. Minda kita dilatih untuk hidup di bawah situasi perfect environment. Apa buktinya? Kita lihat masyarakat kita. Awal Syawal itu contoh termudah tentunya. Bergembira, berpesta, dan bersukaria. Perkara asasi sewaktu Eid Mubarak itu. Tidak salah sebenarnya bergembira menyambut perayaan Aidil fitri itu, malah itu yang dituntut Islam. Bergembira dan menzahirkan kekuatan ummat. Gembira kerna berjaya lepasi sistem pendidikan Ramadhan. Itu baru satu tahap. Yang lebih besar ertinya, bagaimana kita selepasnya. Masih sama atau sekadar kita yang dauhlu? Menjadi manusia yang Rabbani atau manusia Ramadani? Aurat masih dibuka, rokok masih ditagih, rasuah masih manjadi amalan, agama tetap dipersendakan, dan citra sekular terus disanjung dan diutamakan. Lantas mana lataknya perubahan kita?

Berbalik kepada isu perfect environment tadi, ini yang menjadikan kita hidup dalam budaya senang dan lena. Sehingga tidak sedar sebenarnya kita sedang dijajah. Kita dimomokkan sudah merdeka dan berjaya. Berada dalam zon selesa. Semuanya sudah lengkap dan sempurna. Sehingga menyebabkan kita tidak berani bertindak dan bersuara. Media arus perdana dan pendidikan memainkan peranan penting tentunya untuk menyumbang kepada permasalahan ini.

Mengapa media? Sebab dia arus perdana? Lalu jika arus tidak perdana atau media alternatif kita istilahkan, tidak mengapa? Ada yang mengatakan, jika mahu fakta terbaik, rujukilah media arus perdana. Sentiasa terkini. Bagaimana jika fakta itu sendiri yang dipalsukan? Jawapannya mudah. Kerana media arus perdana ini cukup kuat pengaruhnya terutama buat masyarakat sama ada golongan bawahan, pertengahan, atau atasan. Melainkan mereka yang celik minda dan merevolusikan minda mampu mencernanya. Menganalisis dan mensintesis segala maklumat yang diperolehi. Selain daripada itu, alamat terima sahaja. Menadah sahaja tanpa usul periksa. Apa sahaja yang disajikan media arus perdana, sama ada informasinya, dramanya, kartunnya, filemnya, dan pelbagai lagi bahan amat besar implikasinya terhadap umat. Anak kecil misalnya. Islam mengajar mereka ini perlu didik oleh ibu bapa. Mereka murabbi terdekat dan mereka yang bakal mencorakkannya menjadi muslim, yahudi, nasrani, atau majusi. Namun, bila si kecil didik menerusi media arus perdana, astro misalnya, ibarat membiarkan anak kecil bermain di jalanan bersama orang yang tidak dikenali. Terlalu terbuka. Lalu mereka menafsir dunia dan kehidupan dengan ciri-ciri yang dipersembahkan. Hidup riang, anak muda mesti enjoy, pergaulan lelaki dan perempuan yang tidak berbatasan, masalah keluarga, dan pelbagai lagi. Penafsiran begini menyebabkan mereka tidak melihatnya sebagai satu masalah. Mereka dididik untuk menerima senario dan situasi umat masa kini.Tanpa ada rasa mereka perlu diubah dan menjadi ejen perubahan. Tidak terlintas difikiran mereka jika umat ini bukan dia yang mengubahnya, tiada siapa lagi bakal mengubahnya. Mereka dilatih menerima doktrin kehidupan ' ala, tu bukan masalah aku pun' atau 'aku belajar pandai-pandai, result power, CGPA tinggi, fly, kahwin, beranak pinak, tiba masa pencen aku balik duduk kampung lepak kat masjid x pun suaru, jadi qariah sejati, ade rezeki siap dapat jawatan lagi, silap-silap pengerusi' Hendak berbicara atau melaksanakan tugas perubahan masyrakat, amat juah sekali. Kerna apa? Media arus perdana tentunya. Bukan salah media semata-mata, tapi pengaruh kuatnya dek kerana kealpaan kita dalam mendidik mereka.


Seterusnya pendidikan. Sejak dari peringkat terawal lagi mengajar kita erti dan kepentingan perpaduan serta beroriantasikan pencapaian cemerlang akademik semata-mata. Tidak kira ditukar nama kementerian, bertukar tampuk pemerintahan, atau apa pelan yang dipakai, namun masih itu citanya. Ini menjadikan pelajar kita cukup mengejar dan mengagungkan pencapaian. Sentiasa mahu menjadi yang terbaik. Sifat sebegini tidak salah. Namun silapnya, bila mana hanya bidang sains sahaja yang dititikberatkan. Bidang yang akhirnya melahirkan engineer dan doktor. Hal ini akan dibicarakan kemudian. Yang penting, asas dan nilai agama jauh ditinggalkan. Sekadar satu subjek. Bukan untuk diamalkan manerusi pendidikan. Jawapan atas kertas menulis aurat wajib ditutup, tetapi amalnya, hilang bersama angin lalu. Sekadar mahu markah untuk jawapan terbaik. Anak didik kini juga menjadi ganerasi buta jawi. Tidak tahu menulis apatah lagi membacanya. Ini satu panghinaan dan kebiadapan terhadap nilai bangsa sendiri. Memang ia tidak wajib, namun adalah nilai bangsa yang harus dipertahankan. Dari aspek mentaliti juga jauh ketinggalan. Mentaliti hanya berkisar menjadi pak turut. Melihat bidang yang memiliki nilai pasaran yang tinggi,'high marketality' misalnya, terus berlumba pergi ke arahnya. Alasannya mudah, senang dan dijamin dapat kerja, gaji lumayan, nak kahwin cepat, ekonomi global tidak menentu, dan inflasi bakal berlaku lantas butuh kepada sumber kewangan yang kukuh. Lalu terbiarlah bidang kesusasteraan, agama, ekonomi, falsafah dan pelbagai lagi bidang yang tidak popular di universiti. Mentaliti dengan kecenderungan untuk menyelesaikan masalah langsung tidak dibina. Contoh kesannya, tidak mahu menjadi penyelesai masalah ekonomi dunia ini. Sudah cukup dengan menyelamatkat diri sahaja. Selesa melihat insan lain dihimpit cengkaman ekonomi kapitalis ini. Demikian dahsyatnya pendidikan kita.

Mungkinkah hidup ini akan tamat begini? Demikian dirasakan persoalan yang wajar kita jawab sebagai satu muhasabah. Kita tanya diri kita, sudah berapa banyak yang disumbangkan buat umat. Dalam usaha membebaskan umat daripada cengkaman kezaliman kepada kebebasan kehidupan, daripada kegelapan kepada sinar cahaya iman, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan alam dan akhirat. Surah As-saff ayat 9-12 bisa menceritakan segalanya.

Berani membawa perubahan.

Salam Aidil Fitri.

Saturday, September 5, 2009

Perang Badar : From Zero to Hero.

Perang Badar. Asalnya bukan untuk sedemikian. Kerahan tenaga yang Rasulullah lakukan hanya semata-mata mahu menyekat kafilah dagang musyrikin Makkah. Mahu membuktikan akan kekuatan pasukan muslimin dan menggertak dan melumpuhkan sumber ekonomi utama mereka. Para sahabat juga sewaktu hendak keluar hanya membawa kelengkapan sekadarnya. Tidak bertujuan menghadapi seangkatan musuh atau seumpamanya. Namun, ketentuan Allah itu yang lebih pasti dan berhak berlaku.

Secara ringkas sejarahnya, Abu Suffian telah mengerahkan beberapa orang pemuda pergi ke Makkah untuk meminta bantuan, atas kehadiran pasukan Muhammad terhadap kafilah dagang. Maka, pemimpin-pimimpin Musyrikin bersidang dan memutuskan untuk keluar berperang. Menentang tentera Muhammad yang amat dibenci mereka. TUjuan mereka keluar tidak lain hanyalah mahu mempertahankan harta dan bahagian dagang mereka dalam kafilah itu. Wujud juga sebilangan yang tidak mahu keluar lantaran tiadanya kepentingan mereka untuk berperang. Setelah dihina dan disindir Abu Jahal dan sekutunya, barulah golongan ini keluar. Namun dengan hati yang amat walang dan berat. Ditakdirkan Allah, kebijaksanaan Abu Sufyan telah menyelamatkan kafilah dagang dengan melalui jalan laut lantas menghantar utusan kepada tentera Musyrikin yang telah separuh perjalanan itu agar pulang. Kerna Muhammad bersama tenteranya tidak bisa merampas harta mereka. Iri hati dan ego. Ini yang telah menyebabkan tentera Musyrikin tidak mahu pulang. Mereka masih mahu berperang bagi menunjukkan kekuatan dan kekayaan mereka agar berita mereka mengalahkan Tentera Muhammad kelak bakal menjadi bualan dan lagenda tempatan. Demikian sebab tercetusnya peperangan.

Untuk sejarah perang ini, tidak perlu saya ceritakan. Lebih mudah bagi sekalian pembaca menelaah sendiri dan saya yakin, ramai yang sudah begitu arif tentangnya. Apa yang mahu penulis masukkan adalah ibrah(pengajaran) daripadanya.

Fahami dan pegang ini :

1) Kemenangan Allah terhadap pendokong-pendokong agama adalah satu yang pasti. Ibarat satu janji yang mesti berlaku hanya apabila cukup syaratnya. Beriman dan bertaqwa dan mengerjakan amal kebajikan. Ini adalah unsur asas atau syarat asasi bagi meraih janji kemenangan Allah. Kesan pembinaan daripada Rasulullah ke atas sahabat telah melahirkan wafa' (kesetiaan) yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan Rasul. Meski mereka tidak bersedia untuk berperang baik dari aspek material atau kuantiti, namun atas kefahaman yang jelas terhadap tuntutan hidup di dunia dan cinta kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, mereka rela terima dengan keterbukaan hati yang amat sangat.

2) Allah mahu mengajar dan sebagai hujjah kepada kita bahawa sesungguhnya, agama ini tertegak dengan pendokong, rijjal, dan figure yang ampuh. Mudah sahaja bagi Allah sekiranya mahu menegakkan agama ini atau memberi kemenangan tanpa ada pengerak. JIka Allah memenangkan tanpa penggerak sewaktu perang Badar, nescaya kita tidak mahu beramal dan berdakwah sekarang. Kerana beranggapan wujudnya Muhammad sebagai punca kemenangan tanpa perlu pertolongan orang lain. Tapi tidak. Muhajirin dan Ansar menjadi pendokong kepada perang ini. Dan mereka menang. Begitu juga kini. Kepada sesiapa yang mengimpikan wujudnya khilafah dan kemenangan Islam, perlu berusaha dan berkerja untuk Islam. Tidak cukup dengan pengakuan, syarahan, ceramah, pidato, slogan, kempen, dan sembang-sembang semata-mata. Perlu ada perancangan dan tindakan.

3) Kekuatan, kekuasaan, dan material bukan syarat utama mencapai kemenangan akan tetapi, kekuatan hubungan kepada Allah (taqarrub illa allah) yang menjadi kuncinya. Statistik membuktikan, 1000 melawan 313, 200 tentera berkuda menentang 2 tentera berkuda, dan persenjataan yang rapi mengatasi senjata yang ala kadar daripada tentera muslim. Ini perkara utama yang perlu diambil berat oleh sekalian juru dakwah. Membina hubungan dengan Allah. Tadarus, memelihara dan menambahbaik solat wajib, memperbanyak solat sunat, membersihkan hati adalah antara jalan kepadanya. Ini yang mesti dititikberatkan disamping tidak mengabaikan material. Islam tidak pernah menolak material. Material itu perlu bagi memudah dan melancar rencana dakwah yang ada. Hanya apabila material menjadi keutamaan dan matlamat, maka tunggulah janji Allah.

4) Perang akidah dan emosi. Ini antara perkara besar yang berlaku. Memilih antara mempertahankan akidah atau mendahulukan emosi. Tentera muslimin sewaktu peperangan ini menentang bapa saudara, pak cik, malah saudara sendiri. Kebannyakan lawannya datang daripada kaum kerabat. Hal ini sedikit sebanyak apabila difikirkan logik akal memang sukar diterima. Sanggupkah kita memenggal atau membunuh saudaran kandung sendiri yang telah membesar bersama, bermain bersama, kasih yang amat terhadap satu sama lain sebagai contohnya? Namun jika diemosikan hal ini, maka tidak ke mana Islam itu. Tentera muslimin cukup profesional dalam menimbang hal ini. Antara akidah dan keluarga ada bezanya dan keluarga yang menentang Islam sudah tidak bermakna. Keprofesionalan ini yang wajar kita contohi. Juru dakwah tidak sepatutnya tumbang kepada emosi apatah lagi gugur kerana tidak mampu menstabilkannya. Kefahaman yang jelas terhadap matlamat perjuangan dengan berpegang kepada rujukan utama dan ukhwah adalah kuncinya.

5) Pertolongan Allah itu pasti datang buat insan yang ikhlas dalam perjuangan. Dalam perang ini, kita melihat bagaimana Allah mengutus malaikat sebagai penolong kepada tentera muslimin. Kehadiran malaikat telah membantu kemenangan. Begitu juga dengan contoh terdekat tika ini. Allah menolong tentera Hamas dengan mengutus malaikat untuk membantu mereka mempertahankan akidah dan Gaza. Tentera Israil amat terkejut apabila berhadapan dengan tentera serba putih sedangkan umum mengetahui, tentera Hamas berpakaian serba hitam dan hijau! Maka buat sekalian sahabat, yang rasa malu, takut, dan berat untuk turut berdakwah, usah difikirkan itu semua. Janji Allah buat pendokongnya pasti tiba apabila cukup syaratnya. Jika ada yang malas ikut program kerana takut result exam turun, biasiswa ditarik, dimarah ibu bapa, tidak naik pangkat, gaji dipotong, dipandang hina oleh teman dan saudara, maka usah bimbang usah gundah. Memang itu sunnah atau ketetapan bagi sesiapa sahaja yang berkeinginan hidup dalam jalan ini. Dan pertolongan Allah iti PASTI.

Jadikan Perang Badar sebagai pendorong untuk kita mengeluarkan tenaga sebenar kita.

Ramadhan kareem.

Salam takzim.

Friday, August 14, 2009

RAMADHAN KAREEM!!!




‘Bagai menerima sebuah hadiah terlalu istimewa daripada kekasih. Nilainya tiada tandingan. Biar berganti tujuh lautan dengan emas dan permata, tujuh lembah dengan nilam dan manikam, namun, itu semua hanya ibarat debu berterbangan di sisinya. Itulah Ramadhan yang mulia.’


Silih malam dan siang berganti, bagai putaran episode-episode kehidupan manusia. Dalam pantasnya masa berlalu, kini gerbang Ramadhan mampir merapati kita. Datangnya bukan sekadar satu kehadiran biasa. Tidak kira bagi sesiapa pun. Bagi kanak-kanak, tibalah masanya bermain mercun dan bergembira. Bagi peniaga dan penjaja, lubuk rezeki menanti mereka. Bagi pembuat pakaian dan tujang jahit, bertimbun tempahan menanti. Bagi pembuat kuih, sudah boleh dicongak-congak berapa keuntungan tahun ini, dan sebagainya. Seputar ragam manusia menyambut Ramadhan yang mulia. Begitu segelintir masyarakat kita. Saban tahun mungkin. Masih dalam satu kepompong pemikiran yang sama terhadap terhadap Ramadhan. Benar bukan?





Kebanyakan masyarakat tempatan, Melayu muslim khususnya, barangkali tidak berapa jelas akan bulan ini. Berkenaan kemuliaannya, tanggungjawabnya, dan peluang yang sedia terhidang. Tindak balas yang dilakukan manusia terhadap bulan ini adalah kesan satu bentuk penjajahan sebenarnya. Ya, hidup kita masih dalam satu siri penjajahan yang panjang. Masih tidak bebas sepenuhnya lagi. Kukuh terpasak dalam minda segelintir masyarakat, Ramadhan ini tidak lain hanya seperti bulan yang memerlukan kita berlapar pada siangnya dan pada malam hari, sajian menggugah jiwa menanti. Genap sebulan, raya menanti. Masa untuk beragam dan melaram. Insan masih lagi sibuk memikirkan persiapan menghadapi raya berbanding menghadapi Ramadhan.




Bayangkan, jika bagi anak-anak kecil, minda mereka sudah diprogramkan untuk menyibukkan diri menghadapi raya. Bila raya, baju raya, kuih, kasut dan sebagainya menerusi iklan-iklan dan dan siri-siri drama televisyen. Kalau dari kecil sudah didik dengan lagu ini, pemikiran ini menjadi stereotype dan untuk baki 50-60 tahun kehidupannya, begini sahaja senarionya. Komposisi punduduk Malaysia 24 juta, dan 14 juta daripadanya adalah Melayu. Daripada jumlah 14 juta ini, 30-35% adalah kanak-kanak. Jika mereka sentiasa terdedah dengan budaya berfikir ini, untuk tempoh 10-20 tahun kehadapan pula, berapa ramai lagi yang bisa menjadi sepertinya.


Rangka penjajahan ini hampir mencapai matlamatnya, menjauhkan kita daripada menikmati kalazatan Ramadhan seoptimum mungkin yang mana tujahannya, mampu manggegarkan alam.


Golongan yang seterusnya, lain pula kisahnya. Dilihat, seakan tiap-tiap hari diharungi dengan penuh kenikmatan menghadapi Ramadhan. Manakan tidaknya, belum masuk Ramadhan sudah berebut orang buat kenduri kesyukuran bagi menghargai tibanya bulan ini. Surau dan masjid, sibuk membuat rencana dan rangka program bagi menghadapinya. Qiammulail perdana, iftor jamaie, tadarus berjamaah, dan sebagainya. Namun, apa yang mengecewakan, amal tinggal amal.Mereka menjadi manusia yang Ramadhani, bukan Rabbani. Berlalunya Ramadhan tidak memberi impak sedikit pun. Mereka masih kekal sama seperti dahulu. Hidup dengan rutin yang tidak membina.


Ramadhan umpama satu unuversiti. Tempat mambina diri. Graduan universiti hanya akan diiktiraf dengan segulung ijazah yang diperolehi. Ijazah itu akan digunakan sebagai tiket kepada pintu rezeki dan majikan amat mengiktirafnya. Sama halnya dengan universiti Ramadhan ini. Graduannya akan menerima pengiktirafan daripada Rabbul Jalil. Dengan pengiktirafan ini, tempoh 11 bulan mendatang bakal dilalui dengan barakah dan makrifah, dan maghfirahnya.


Hidupkan Ramadhan.


Salam perubahan.