
Satu salam buat semua.
Merujuk pada karya lalu, kita telah melihat kerosakan yang berlaku. Anak-anak muda atau lebih tepat mereka yang hampir sebaya dengan kita begitu jadinya. Nampaknya, muda-mudi ini tidak dapat dibentuk dengan baik. Atau para pembentuk itu sendiri yang gagal untuk membentuk mereka. Pernah juga saya terfikir, adakah cara pembentukan remaja kita yang digunakan sekarang ini betul? Kepada apa rujukan pendidikan itu dibuat dan kerana apa ia diambil? Persoalan ini kiranya adalah perkara pokok yang wajar dibahaskan dan dikaji terlebih dahulu, jika kita mahu merangka atau menyusun sistem pendidikan di Malaysia.
Ini adalah pengalaman saya mengikuti sistem pendidikan negara selama 12 tahun. Jika kita kaji kembali sejarah, kita akan tahu susur galurnya. Pada pandangan saya, sistem yang kita miliki ini lebih kepada mahu melahirkan pelajar yang serba-serbi berkebolehan. Hebat akademik, aktif kadet dan persatuan, boleh berdebat, menguasai bahasa inggeris dengan baik, boleh mengatur program, menyertai sedikit-sebanyak kursus-kursus kepimpinan, dan pelbagai lagi adalah matlamat asasi yang ingin dicapai. Program yang dijalankan berorientasikan matlamat itu. Bagus atau tidak bukan persoalan yang ingin saya bawa, tetapi persoalannya sejauh mana semua itu memenuhi tuntutan hakikat kejadian manusia.
Telah Allah berfirman bahawa tidak dijadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadanya. Di sini letaknya hakikat kejadian tersebut. kita dijadikan untuk beribadah kepada Tihan. Dan ibadah itu sendiri luas. Bukan setakat Solat dan puasa sahaja bahkan lebih besar daripada itu bagaimana dapat kita jadikan hidup ini SELURUHNYA sebagai ibadah kepada Tuhan. Jika benar sistem pendidikan kini berjaya, mengapa masih berlaku pelbagai masalah sosial? mengapa masalah dadah tidak dapat dibenteras? Sedangkan bijak pandai negara dan pemimpin-pemimpin juga ada terlibat dengan masalah sedemikian, kepada siapa lagi qudwah atau contoh itu hendak dirujuk?
Itu akibatnya jika acuan yang kita gunakan untuk mendidik tidak datang daripada pemilik alam ini. Bumi ini adalah milik Allah. dia yang mencipta dan bakal menghancurkannya. Maka dia lebih mengetahui bagaimana hendak mendidik penghuninya. Jika kita menjadikan sistem buatan manusia sebagai rujukan, ini jadinya. Manusia hilang nilai kemanusiaan. Mengapa mesti kita takut atau malu untuk ikut acuan Tuhan? Salahkah jika cara kita mendidik anak-anak kita berteraskan al-quran? Tidak bolehkah anak-anak kecil itu diperkenalkan dengan musuh-musuhnya agar dia dapat membezakan baik dan buruk, hak dan batil?
Maka sebab itu penting buat para pendakwah Islam memastikan fikrah yang dimiliki tidak terbiar begitu sahaja. Fikrah dakwah itu adalah harta pusaka terbesar yang perlu diwariskan kepada anak-anak kita. Biar dari kecil mereka diasuh dengan al-quran dan sunnah. Biar mereka membesar umpama panglima yang mana deruan tentera dan tindakannya meggegarkan alam. Dan pada malam hari pula umpama pendeta meraih kekuatan ruh daripada Illahi. Pastikan anak-anak kita tidak tersalah dididik dengan sistem pendidikan manusia ini. Fikrah itu perlu diwarisi.
Jangan menderhakai fikrah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment