Sunday, March 8, 2009

Tua dan Muda : Kombinasi Emas

Satu salam perjuangan buat para teman.

Sememangnya sudah menjadi satu lumrah, ketuaan itu akan kita temui. Setiap makhluk yang bergelar insan ini pasti menemui zaman tuanya, satu zaman yang mana diibaratkan zaman pencen, dan zaman untuk mula beribadah. Mula mengenali Tuhan lebih tepat lagi bagi penulis. Begitulah ragamnya masyarakat kita. Masih ramai yang melihat bahawa sesungguhnya zaman tua adalah satu zaman berehat. Masa beramah mesra dengan keluarga. Dalam dunia pendakwah, sindrom ini amat bahaya. Telah ada yang mengatakan apabila sudah sampai usia emas, mereka telah 'graduate' daripada jalan dakwah lantas tidak mahu atau mungkin juga melarikan diri dari jalan para nabi dan rasul ini.

Sebenarnya, tidak kira dalam usia apa pun kita ini, tatkala kita menanam keyakinan dan perjanjian dalam diri untuk meneruskan tugas mendukung risalah Illahi, pastinya ada tugas yang sesuai dan mampu dilaksanakan. Bertepatan dengan kondisi kita pada waktu tersebut. Nabi itu sendiri terus berdakwah sehingga usia tuanya, hatta pembukaan Makkah itu dilakukan tatkala usia sudah lanjut. Namun, adakah baginda berhenti berjuang, berhenti berdakwah, mahupun berhenti berjihad? Sehingga ke usia emas baginda terus melaksanakan tanggungjawabnya. Itu adalah satu sunnah. Nabi mahu ajar kepada kita berdakwah itu sesungguhnya adalah satu proses yang panjang. Dakwah bersifat panjang dan perlu diwariskan. Itu adalah kaitannya antara tua dan muda.

Daie tua dan muda perlu digandingkan bagi menghasilkan satu gelombang revolusi. Gelombang yang dihasilkannya mampu menerjah segenap ruang dan pelusuk. Kedua-duanya perlu bergerak seiringan. Warga muda penuh dengan semangat, kekuatan, daya juang yang tinggi, keinginan yang mendalam untuk berubah dan tenaga yang perkasa. Manakala, warga emas pula sarat dengan pengalaman, kaya dengan nasihat, dan ilmu yang menggunung. Maka, apabila kedua-dua jiwa ini digabungkan dengan adunan Islam, kegemilangan Abbassiah itu umpamanya mampu dijelmakan kembali.

Lihat sahaja nabi itu sendiri sebagai contohnya. Dengan pengalaman, ilmu dan nasihat berguna yang dicurahkannya, pemuda-pemuda mampu dibentuk dan dijelmakan kekuatannya dalam bentuk tindakan dakwah. Umar, Bilal, Zubair, dan lain-lainnya adalah contoh-contoh pemuda yang hidup. Hidup jiwanya, hidup semangatnya, hidup fikrahnya, dan hidup amalnya. Contoh lain seperti Sultan Mahmed Al-fateh. Dalam usia awal 20 an sudah menjadi sultan dan mampu memimpin angkatan tentera yang besar lantas membebaskan Konstantinopel. Kejayaannya tidak terletak pada dirinya sahaja. Lihat bapa dan datuknya. Kedua-duanya pernah memimpin kampen membebaskan kota itu namun gagal. Tetapi, apa yang penting, kita lihat bagaimana semanagt itu mengalir dari seorang datuk, turun kepada bapa, dan akhirnya muncul dalam dirinya. Ini yang dimaksudkan dengan dakwah itu perlu DIWARISKAN. Pengalaman datuk dan bapanya digunakan sebaik mungkin untuk berjaya.

Begitulah sepatutnya. Para aktivis dakwah perlu menyedari hakikat ini. Sesungguhnya tiada istilah rehat atau 'graduate' dalam dunia dakwah. Yang ada hanyalah terus dan terus dan terus berkerja. Kombinasi antara tua dan muda bakal membuahkan hasil yang menguntumkan senyuman. Tiada halangan yang mampu mematikan kita dan tiada sempadan dalam dunia ini bisa membatasi kita. Usia muda, tua dan mati itu hanyalah sekali. Maka gunakanlah masa tua dan muda dengan sebaik mungkin. Mati itu juga hanya sekali, maka matilah dengan sebaik-baik kematian. Saat langkah pertama kita memasuki Jannah itu, itulah waktu untuk kita berehat dengan sepuas-puasnya. Pada waktu itu, kita akan duduk bersama-sama dan bersembang, mengenang kembali apa yang telah kita lakukan di dunia dahulu. Itulah sebesar-besar nikmat daripada Illahi. Indah bukan?

Sekian.

Wassalam.

No comments: