Friday, May 15, 2009

Guru dan Pendidikan : Teras Satu Kebangkitan





Salam pendidikan.

16 Mei, satu tarikh keramat tentunya. Khusus buat sekalian pendidik. Buat insan yang memegang gelaran guru. Manusia meluahkan ekspresi mereka terhadap guru dalam pelbagai bentuk. Sajak, syair, program, keramaian, dan pelbagai lagi. Terutamanya pada tarikh ini. Mengapa sehingga begini sambutan terhadap mereka? Apakah istimewanya mereka? Adakah kerana mereka mendidik anak-anak bangsa mengenal apa itu A, B, C dan 1, 2, 3, ? Atau kerana mahu membalas akan segala usaha dan daya kerja yang telah digarap kerana melahirkan puluhan pemegang sijil 8 A pmr atau menghasilkan buah kejayaan straight A's dalam spm? Adakah kerana itu? Ayuh renungi duhai sekalian pencinta kebenaran.

Kisah penurunan wahyu pertama pasti diingati ramai. Masih segar bugar dalam benak minda ini. Khasnya buat sekalian dai'e, falsafah dakwah dalamnya harus dipegang erat. Namun, pada hari ini, mari kita lihat aspek lain. Aspek yang mengaitkannya dengan Hari Guru di Malaysia. Ya, tentunya ada kaitannya. Dalam al-Quran itu semuanya ada.

Tatkala turunnya Jibril itu menyampaikan risalah daripada Ya Rabb itu, nabi sedang bersendirian. Cuba mencari ketenangan. Perlu kita ingati, nabi itu tidak tahu membaca dan menulis. Tatkala Sang Jibril memeluk eret baginda dan menyuruhnya membaca 'iq raq...' yang membawa erti bacalah. Nabi menjawab dia ini tidak tahu membaca. Gementar seluruh tubuhnya. maka Sang Jibril mengulanginya lagi. Memeluk dan menyuruhnya membaca lagi. Hal ini berulang sehingga kali yang ketiga. Adapun selepas itu, baginda yang tidak tahu apa-apa, boleh membaca ayat tersebut. Itu adalah wahyu pertama buat baginda. Ramai yang mentafsir wahyu pertama itu sebagai seruan Tuhan ke arah lapangan keilmuan untuk membangunkan Islam ini. Kepentingan ilmu dalam kehidupan. Bahawasanya, ilmu itu adalah tunjang peradaban bangsa dan tamadun. Tidak dapat ditolak, itu adalah antaranya.

Namun, bukan itu sahaja. Siapa yang nampak pendidikan dalamnya? Mendidik seseorang yang tidak tahu membaca kepada sebaliknya. Lantas menyebarkan apa yang diperolehinya itu kepada makhluk sekalian alam. Pelukan erat daripada Sang Jibril mampu mengubah segalanya.
Sebanarnya pelukan itu adalah diibaratkan sebagai satu tindakan personal touch daripada malaikat kepada seorang rasul. JIka ditakdirkan Jibril itu mahu mengajar sahaja, tentu bisa bagi Allah memudahkan urusan tersebut dengan hanya sekali ajaran. Tapi tidak. 3 kali diulangi pelukan dan ajaran Jibril. dan itu permulaan segalanya. Wahyu datang silih berganti kepada nabi dan dengannya, para sahabat dididik akan apa itu Islam, Tauhid, hakikatnya, peranan, amaran, sokongan dan motivasi sehingga akhirnya, dinding dan pagar jahiliah dalam jiwa mereka mampu diranapkan. Dan diatas runtuhan jahiliah itu dibina binaan iman dan Islam. Natijahnya, terbentuk Negara Madinah, Pembukaan Makkah, tumpasnya Rom dan Parsi, dan gelombang Tauhid ini sampai sehingga ke Baghdad, Istanbul, Andalusia, Morocco, India, Ciang Mai, China, dan turut tidak terlepas daripadanya kepulauan Nusantara ini. Sehinggakan asas kepada Empayar Kerajaan Melayu Melaka yang Telah melalui Zaman Emasnya turut bermula daripada wahyu pertama ini. Dalam profession pendidikan, ini adalah satu Key Performance Indicator (KPI) yang perlu diambil peduli.

Kaedah yang digunakan Sang Jibril itu amat ampuh. Pelukan yang merupakan personal touch itu amat mendalam dan besar implikasinya. Dan itu dilakukan sebanyak 3 kali. Berterusan. Itu pengajaran daripadanya. Kerana itu dikatakan guru dan pendidikan itu penting. Penting sebagai satu teras kebangkitan ummah. Sirah nabi tadi adalah buktinya. Personal touch yang dilakukan mampu meyakinkan anak pelajar untuk berjaya. Semacam satu kepercayaan dan harapan yang akan terus menyalakan api pengorbanan dan kesungguhan. Dan semestinya perlu konsistensi. Bagi memastikan apa yang diajar itu terus dapat ditangkap dan bermakna.

Dalam dunia kehidupan begitu yang terjadi. Seharusnya guru itu diraikan kerana ini. Kaitan antara pelajar dan guru amat besar ertinya. Buat sekalian da'e, inilah kisah antara seorang murabbi dan mutarrabbi. Hendak membentuk pilar-pilar tersebut agar memahami fikrah dan menghidupkannya perlu akan personal touch. Pendekatan yang diperlukan terhadap mereka ini tentunya berbeza antara satu sama lain. Intipati yang hendak disampaikan bukan hanya satu ilmu, malah mahu membentuk mereka menjadi batu bata sebagai asas kepada binaan Islam. Itu matlamatnya.

Akhir kalam, SELAMAT HARI GURU buat sekalian guru, pendidik, dan murabbi yang telah membentuk penulis menjadi apa penulis sekarang ini. Usaha kalian yang pelbagai itu amat bermakna dan besar ertinya. Sama ada pelajaran linguistik, sains, kalkulus, kemanusiaan dan ilmu perjuangan yang dicurahkan dalam keadaan formal atau tidak. Moga ke atas kalian rahmat dan taufik Penguasa segala apa yang ada dilangit dan bumi ini dicurahkan.

Teruskan mendidik.

Salam kasih dan sayang

No comments: