Sunday, March 21, 2010

Apabila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung



Salam buat sekalian teman.
Satu topik yang klise. Di mana sahaja kita berada, tanpa mengira batasan waktu dan tempat, kita akan berhadapan dengannya. Ini soal jiwa. Soal hati. Soal nafsu. Juga soal iman. Ramai yang menganggap ini adalah satu isu terbesar dalam hidupnya. Kudrat, keringat, dan pemikiran langsung ditumpukan padanya.

Apabila berbicara tentang cinta, anak-anak muda pasti tersenyum nakal. Senyum yang menyimpan seribu satu maksud dan erti. Suka bukan kepalang. Sebelum kita merumus lebih jauh topik ini, ada beberapa lontaran persoalan yang wajar kita renungi dan jawab terlebih dahulu.Salahkah bercinta? Untuk apa bercinta? kalau cinta tapi tak pegang tangan bolehkan? Bukankah cinta itu fitrah naluri manusia, maka jika tak bercinta,maka kita tak menyempurnakan hak-hak fitrah kita, bukan begitu?

Demikian beberapa contoh soalan yang biasa penulis hadapi tatkala berbicara tentang isu ini, bersama rakan dan taulan. Bagi penulis, isu ini dapat dirumus dengan mudah. Tidak perlu dipanjang-panjangkan. Pertama, mari kita kenali dan dalami fitrah kejadian kita, manusia. dari aspek sejarahnya. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada tolok bandingnya, Adam diciptakan . Manusia pertama. Dan untuk melengkapinya, Hawa sebagai pasangan dihadirkan. Bisa sahaja Allah menciptakan Adam itu bersendirian selamanya. Namun Allah ingin menunjukkan satu sunnah terbesar alam, setiap perkara memang ada pasangannya. Lelaki dan perempuan, positif dan negatif, timur dan barat, kiri dan kanan. Yang mana kewujudan unsur lain itu berperanan sebagai melengkapi. Ini fakta.

Dari segi sifat manusia pula, kita memang dilengkapi dengan rasa kasih sayang. Dan rasa ini memang ciri-cirinya mahu dicurahkan kepada pihak lain. Cuma persoalannya, kepada siapa selayaknya kasih-sayang ini diberikan? Teman wanita yang indah paras rupanya? Jejaka yang tampan lagi menggugah rasa? Rakan perempuan yang baru setahun dua berkenalan? Teman chatting room yang tidak pernah bersua muka? Sahabat yang setia dalam perjuangan? Ibu bapa yang membesarkan diri ini? Atau Pemilik kepada segalanya? Kita perlu ada panduan dalam hal ini. Telah Allah berfirman dalam kitabNya yang suci, lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, dan begitulah sebaiknya. Ayuh nilai diri kita.

Seterusnya, mari kita lihat aspek matlamat. Untuk apa percintaan antara lelaki dan perempuan yang memang jelas tiada sebarang ikatan yang sah dari aspek syar'ie? kemana perlu dibawa cinta itu? apa yang mendorongnya? Nafsu. Semudah itu jawapannya. Tiada sebab lain kemungkaran itu berlaku melainkan dengan nafsu. Dan begitulah dalam hal ini. Barat telah menyempitkan skop cinta ini. Melalui senjata-senjatanya, filem, internet dan sebagainya, cinta itu perlu berakhir di bilik-bilik, beralaskan tilam dan katil. Mereka membawa pemikiran kita tentang hakikat cinta ini kepada satu tahap yang cukup hina. Hanya untuk menyempurnakan tuntutan syahwat manusia semata-mata. Jika begini pertimbangan kita, tiada bezanya kita yang berakal ini dengan haiwan yang bertindak berpandukan nafsu dan naluri. Perlu kita ingat, dengan cintalah manusia Allah jadikan, dengan cinta kepada Allah, Ibrahim sanggup menyembelih anaknya, dengan cinta juga, Ali sanggup berbaring di tempat tidur nabi sewaktu hijrah, dan kerana cinta, Muhajirin dan Ansor dipersaudarakan. Cukup tinggi nilai dan erti cinta ini di sisi Islam. Bagi yang selainnya, kehinaan semata.

Begitulah bagi penulis, berdasarkan ilmu yang tidak seberapa dan semoga Allah memberkatinya, isu ini tertegak atas tiga paksi yang telah disebutkan tadi. Sejarah penciptaan manusia wujud kerana cinta Allah kepada hambanya. Cinta dan berpasangan memang fitrah manusia. Dan cinta itu perlu memiliki matlamat dan sebab kenapa ia mengambil tempat. Buka hati dan jiwa kita sebentar, untuk membaca senario sekeliling. Lebih 17000 anak seluruh negara telah didaftarkan sebagai tiada status sah. Dalam erti kata lain, anak luar nikah. Hasil zina. Statistik menunjukkan, kawasan yang padat dengan penduduk menjuarai carta ini. Lembah Kelang, dan Wilayah Persekutuan adalah yang dimaksudkan. Bangsa yang mengunggulinya? Bangsa penulis dan sekalian pembaca tentunya. Melayu kita. Belum lagi hal kehamilan bawah umur, dan kehamilan tegar. Iaitu hamil berulang kali dan sebabnya sama sahaja. Zina.Inikah buah-buah cinta yang kita idam-idamkan wahai teman? Bagaiman jika keluarga kita yang terlibat dalam masalah ini? Jika Ibu dan Ayah kita masih hidup, apa rasanya perasaan mereka melihat anak yang sebegini jadinya? Bisakah terukir sekuntum senyuman atau hati yang pedih pilu?

Demikianlah baju melayu bertemu baju kurung. Konklusi yang mudah. TIADA COUPLE SEBELUM KAHWIN. Tidak pernah Islam mengajar kita cara ini. Nilai cinta dan martabat wanita amat tinggi di sisi Islam. Islam memuliakan dan menyucikannya. Perkahwinan menurut Islam, adalah demi memperbanyakkan umat yang akan memperjuangkan Agama ini. Membasmi kemaksiatan dan zina. Hanya bermatlamat kerana Allah. Jika mahukan pasangan yang baik lagi suci, perhatikan diri kita. Adakah kita cukup suci untuk dipasangkan dengannya. Ingat, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, dan sebaliknya. Salurkan cinta kepada penduduk Palestin saudara kita. Mereka amat memerlukannya. Man la yahtammu bil amril muslimin, fa laisa munhum.

Cinta itu suci, jangan cemarinya.

Man la yarham, la yurham.

Bakara Allah lakuma.

Salam hormat.

No comments: