Alhamdulillah, dengan limpah dan inayah Illahi, kita masih diberi peluang untuk terus hidup di alam ini. Saban hari, pasti ada roh yang kembali ke alam barzakh, dan pasti juga ada insan baru yang dilahirkan. Moga, dengan peluang yang dikurniakannya untuk terus hidup, akan bisa kita manfaatkan seoptimum mungkin, bagi terus melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Kelak, apabila tiba masanya roh diwajibkan berpisah daripada jasad, dapat kita lalui dengan iman dan taqwa masih menebal di dada. Insya Allah.
Dalam topik sudah, penulis telah menyentuh salah satu daripada 2 isu yang ditekankan oleh nabi Muhammad kketika berdakwah di Makkah. Kali ini, isu yang kedua, iaitu akhlak pula yang akan disentuh.
Bangsa arab jahiliyah terkenal dengan pelbagai sifat-sifat negatif. Dalam erti kata lain, terkenal dengan akhlak jahil. Bagi para pelajar yang sentiasa memberikan tumpuan sewaktu kelas sejarah di sekolah, tentunya masih mengingati apa akhlak-akhlak tersebut. Merompak, berzina, minum arak, berjudi, amalan riba, menyembah berhala dan pengamalan kepercayaan animisma adalah antara contoh-contohnya. JIka kita lihat secara tidak langsung, akhlak-akhlak sedemikian turut diamalkan pada masa kini, walaupun kita dimaklumkan bahawa kini ialah zaman moden, zaman teknologi dan IT, zaman pasca merdeka, dan era globalisasi. Maka, adalah tidak salah bukan jika kita mengatakan zaman sekarang masih ada masyarakat jahiliyah. Namun, masih ramai yang menyangkal hakikat ini. Masih ramai anggota masyarakat yang tertipu, ditipu, atau mungkin lebih tepat diistilahkan sebagai menipu diri sendiri. Mereka menganggap apabila sudah merdeka, kehidupan bertambah moden, teknologi dan IT giat dipelajari dan manusia semakin menuju era globalisasi, kehidupan jahiliyah akan ditinggalkan. Itu adalah salah satu daripada tanggapan mudah dalam masyarakat.
Namun hakikatnya para pembaca yang budiman sekalian, itu adalah salah. Kehidupan masyarakat yang semakin maju dalam aspek kebendaan bukan kayu ukur sebenar terhadap nilai moral mereka. Sewaktu baginda berdakwah, apabila pengikutnya semakin memahami apa itu iman, mereka dituntut untuk mempratikkannya. Mereka dikehendaki untuk meninggalkan terus segala bentuk amalan jahil, sama ada kepercayaan, percakapan mahupun perbuatan. Zina, judi,riba dan sebagainya tidak lagi diamalkan oleh pengikut baginda. Amalan riba yang telah menjadi tradisi dan mengakibatkan si kaya terus kaya dan yang miskin bertambah miskin mampu ditinggalkan. Ini telah mengakibatkan masyarakat memandang Islam membawa keadilan buat yang tertindas. Sebagai contoh, Umar pula, apabila turun sahaja ayat yang mengharamkan minum arak, dia terus pulang ke rumah dan memusnahkan segala simpanan araknya. Dia mahu maninggalkan kehidupan jahiliyah secara TOTAL. Inilah kesan daripada iman yang disemai terlebih dahulu oleh baginda. Akhirnya, lahir generasi awal yang mantap iman dan akidahnya serta cemerlang pula akhlak. Inilah MANUSIA KELAS PERTAMA. Kita tidak memerlukan perancangan yang teliti dari sudut pendidikan, ekonomi, sosial, dan sebagainya untuk melahirkan manusia super ini. Cukup dengan menyemaikan rasa iman dan taqwa terhadap Pencipta dan mempraktikkan akhlak mulia dalam kehidupan. Golongan ini akan mampu mengembangkan potensi diri mereka dalam pelbagai bidang lain. Usah dirisau.
Pembaca sekalian,
Ini adalah kaitan yang konkrit antara iman dan akhlak. Kedua-duanya perlu bergerak seiring dan sejajar. Manusia tanpa kedua-dua nilai ini adalah manusia yang gagal kehidupannya, walaupun pada pandangan mata dan takrifan duniawi dia seakan-akan memiliki segala-galanya. Namun, jiwanya kosong dan lebih menyedihkan apabila individu itu tidak mengetahui apakah sebenarnya tujuan dia dijadikan di dunia ini. Allah telah menjadikan jin dan . Beribadah itu tidak terikat kepada solat semata-mata. Memang itu yang utama, namun satu aspek yang lain pula ialah bagaimana kita hendak menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai satu ibadah kepada Allah. Bagaimana kita hendak memastikan setiap perkara yang kita lakukan mampu membawa diri kita semakin dekat kepada Allah. Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat dalam kehidupan kita. Ganerasi terdahulu mampu membina tamadun kerana mereka memastikan setiap perkara yang dilakukan hanya untuk mencari keredaan Allah sahaja. Jika kita ingin mencipta kembali tamadun itu, jadikanlah matlamat ini sebagai yang utama dalam kehidupan. Apabila kita lari daripadanya, maka itu yang akan menjadikan manusia hilang nilai kemanusiaannya. Jangan biarkan itu berlaku.
Sekian.
No comments:
Post a Comment