Friday, April 17, 2009

BULAN DAKWAH : BULAN UNTUK BERDAKWAH ATAU DAKWAH DALAM SEBULAN


Salam buat sekalian umat manusia.

Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Secara mudahnya, itu adalah dakwah. Usaha membuat sambutan sempena bulan ini adalah sesuatu yang baru. Maklumlah, sebelum ini, kita biasa membuat sambutan hari kanak-kanak, hari pokok, hari tandas sedunia dan pelbagai hari-hari lain lagi. Namun, Bulan Dakwah? Sesuatu yang baru. Apakah matlamat yang ingin dicapai sebenarnya menerusi program ini? Adakah hendak menjadikan satu bulan khusus untuk berdakwah, atau mengajak manusia berdakwah dalam tempoh sebulan? Adakah dakwah perlu kepada perkara itu? Dan yang lebih utama lagi, adakah manusia memahami, apa itu dakwah sebenarnya? Janganlah kita menjadi laksana orang yang tenggelam dalam lautan ciptaan sendiri. Sibuk merencana program namun tidak tahu apa matlamatnya.

Menyingkap kembali sirah dakwah nabi, tatkala turun wahyu memerintahkan baginda berdakwah, menjadi seorang rasul, tugas terus digalas dan dipikul sehingga akhir hayat. Tidak pernah rehat, berhenti, mahupun malas. Usia yang tua tidak membatasi dakwah baginda. Itu adalah satu sunnah. Nabi hendak mengajar kita, tugas berdakwah itu perlu terus dilaksanakan. Mengapa? kerana itu sebahagian daripada hakikat kejadian manusia. Kita adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini. Tugas menegakkan syariat Islam di atas muka bumi Allah ini wajib dilaksanakan. Ini adalah bumi Allah. Allah pencipta dan pemiliknya. Lantas mengapa syariat, undang-undang, dan agama pemilik bumi ini tidak mahu dilaksanakan. Wajarkah penghuninya memilih undang-undang lain selain ciptaannya? Seperti sebuah rumah. Tuan rumah semestinya berkuasa penuh ke atas rumah itu. Layakkah tetamu membuat perangai sesuka hati di sana? Tentu tidak. Begitu juga pada waktu ini. Cuba kita sebutkan, di mana undang-undang Islam diterima pakai? Di mana syriat telah tertegak? dan yang lebih perit, dimana negara Islam, Negara yang mana seluruh perundangan da kehidupan berteraskan al-Quran dan sunnah? Tiada bukan?

Zaman kita sama dengan zaman nabi. TIADA NEGARA. Maka, tugas bergerak ke arahnya perlu kita buat dalam bentuk gagasan yang besar. Atas dasar itu, dakwah ini TIADA BATASAN TEMPAT DAN WAKTU. Mari kita lihat sejenak dengan mata hati ini. Adakah kesan melalui bulan dakwah itu sudah kelihatan? Adakah seluruh rakyat muslim negara ini sudah memahami,Apa itu dakwah? Adakah remaja kita sudah mengarti bahawa sesunggahnya haram bardua-duaan di taman bunga? Adakah artis-artis kita mula mengerti, aurat itu perlu di jaga? Adakah atlit-atlit kita sudah sedar bahawa menutup aurat itu wajib? Adakah oarang-orang besar negara sudah pelajari bahawa, makan hasil rasuah itu haram? Adakah masjid-masjid kita semakin ramai jemaahnya setelah berlalunya Bulan Dakwah? Nampaknya, seperti tiada apa yang berubah. Keadaan di sini masih seperti biasa.


Bukan niat penulis untuk memperkecilkan usaha ini. Tetapi, mahu semua sedar akan hakikat kini. Jangan kita menganggap, bilamana tamatnya bulan dakwah, tugas kita juga selesai. TIDAK. Dalam kehidupan seorang pemdakwah, tidak pernah sepatutnya wujud sikap ini. Cara berfikir sebegini perlu jauh dilontar kebelakang. Jika nabi bersikap sebegini, mana mungkin Islam itu berkembang. Pembersihan jiwa dan penggarapan tugas perlu kita teruskan agar di hadapan Allah kelak ketika hari pembalasan, kita tidak segan menunjukkan apa yang telah dikumpul selama hayat di dunia ini.

Dakwah itu kehidupan.

Sekian.

No comments: