Tuesday, June 9, 2009

Antara Cegah Dan Rawat Buat Ummat.

Salam ukhwah.

Cegah atau rawat?Istilah-istilah yang cukup sinonim dalam dunia seorang doktor. Kedua-dua method ini digunakan bagi melawan penyakit. Itu adalah objektifnya. Meskipun kita melihat bidang kedoktoran merawat penyakit zahir badan, namun bagaimana pula dengan penyakit ummat? Ummat ini sebenarnya menanggung kesakitan yang amat sangat. Jika ummat ini sihat, mana mungkin penindasan terhadapnya berlaku di seantero dunia. Tragedi di bumi Afganistan itu contoh termudah. Jika sungguh-sungguh kuat, tentunya kebejatan sosial dalam kalangan remaja tidak seteruk kini. Pusat serenti pasti tidak akan didominasi penghuni Melayu yang rata-ratanya adalah muda-mudi kita. Jika kita mahu membicarakan soal masalah ini, sampai kesudah masih kekal bagini. Lalu, bagaimana solusinya?

Di sini terletaknya beza antara kaedah cegah dan rawat. Satu analogi mudah. Apabila seseorang individu ditimpa penyakit demam, dia akan memilih panadol sebagai ubat. Jika seorang wanita atau jejaka mengalami obesiti, ubat kurus menjadi pilihan mereka untuk kembali lansing dan ramping. Puluhan malah ratusan ringgit sanggup dihabiskan demi mengatasi dan menyelesaikan masalah kesihatan mereka.

Berbeza pula halnya dengan kaedah cegah. Mereka tidak perlu makan panadol untuk kekal sihat dan tidak perlu juga membelanjakan wang yang ada agar tidak mati dek kerana obesiti. Langkah mengatasinya dipraktikkan sejak dari awal. Mereka akan mengamalkan gaya hidup sihat. Telah jelas dalam minda mereka, mengapa mereka perlu berusaha untuk kekal sihat dan cergas sepanjang hayat. Maka, amalan hidup mereka akan sentiasa berkaitan dengan kejelasan tersebut. Mereka bersenam seawal usia muda paling kurang 3 kali seminggu,memakan makanan yang seimbang gizinya, dan pelbagai lagi. Mereka berusaha mencegah masalah dari awal.

Hakikatnya, umat ini juga begitu. Langkah praktikal untuk memulihkan ummat adalah dengan menjelaskan kepada mereka akan matlamat kejadian dan kehidupan mereka di alam ini. Mereka perlu faham mangapa mereka dicipta dan natijahnya. Maka, apabila kefahaman dan kejelasan matlamat kehidupan itu ada, segala tindak tanduk akan berkaitan dengan kedua-dua elemen tadi. Apabila mahu merokok misalnya, terlintas dalam fikiran, adakah ini matlamat dijadikan? Sekadar merokok? Ini akan membangkitkan keupayaan dalam diri untuk menolak rokok itu. Tidak perlu menghabiskan ribuan ringgit dalam modul pembangunan modal insan yang masih tidak tentu matlamatnya menerusi pelbagai kempen dan seumpamanya. Kerana kumpulan sasarannya masih tidak jelas mengapa mereka perlu berubah.

Sedangkan kaedah rawat akan digunakan setelah masalah berlaku. Apabila tersiar berita pembuangan janin di dada-dada akhbar, barulah heboh dibincangkan. Bermula dari anjung-anjung surau, ceruk-ceruk kedai kopi, sehinggalah ke peringkat jabatan dan kementerian kerajaan. Semua mahu menunjuk prihatin dan tampil dengan pelbagai teori penyelesaian. Baru dikeluarkan arahan dan surat-surat pekeliling mengarahkan penguatkuasaan disiplin diperketatkan. Pelbagai kempen direncana dan dilaksana. Namun,hanya sekadar merawat. Remaja-remaja itu masih tidak faham mengapa perlu berubah. Lalu, masalah terus berulang. Tidak kiralah siapa memegang tampuk pemerintahan atau parti mana yang menduduki majoriti kerusi parlimen, masalah dan kaedah penyelesaian masih sama. Mereka hanya memikirkan isu sama. Ibarat tiada kemajuan jadinya.

Demikian beza antara cegah dan rawat. Mencegah melahirkan individu dengan mentaliti yang proaktif. Mengambil langkah awal. Mereka memahami punca masalah meskipun masalah itu belum berlaku. Sedangkan, merawat melahirkan insan dengan minda gemar menanti kesan terlebih dahulu, kemudian baru bertindak.

Inilah method perubahan yang mahu dibawa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam menyelesaikan masalah kebejatan sosial buat ummat tercinta ini. Kaedah yang digunakan adalah mendidik jiwa kanak-kanak, remaja, belia, wanita, dan orang dewasa akan tujuan dan hakikat kejadian mereka. Mengenali diri dan mengenali Pencipta. Asas-asas Islam diterapkan dalam jiwa. Sebagaimana para sahabat dalam era awal dakwah disampaikan. Jiwa mereka dididik mengenal shahadah, fungsi dan tuntutannya. Mus'ab bin Umair, Umar al-Khattab, Zaid bin Harithah, Bilal bin Rabbah, Abu Ubaidah dan ramai lagi. Semua melalui proses ini. Mereka berubah dari individu yang tiada apa-apa, kepada individu yang mendokong risalah Illahi. Nama-nama itu disebut sehingga kini. Natijahnya, asas yang kukuh dibina bagi memperjuangkan agama.

Islam akan hanya bangkit dengan individu dan jalan itu. Masalah sosial akan bisa diatasi dengan mendidik jiwa umat dan diterapkan asas-asas Islam. Itu sahaja methodnya.

Mencegah itu lebih utama.

Salam perubahan.

No comments: