Friday, June 12, 2009

Wahai Pemuda



Wahai Pemuda

Salam ukhwah.

Kali ini, sebagai satu seruan buat diri penulis sendiri dan juga buat sekalian pemuda atau mereka yang masih mahu menggelar diri mereka sendiri PEMUDA, yang bertebaran di atas muka bumi ini. Disebut sahaja pemuda, apa yang tergambar adalah satu figure dengan susuk tubuh yang kental dan dan semangat yang berkobar.Ya, secara asasnya itu adalah pemuda. Ciri-ciri fizikalnya begitu. Maka dengan elemen yang ada itu, pemuda cukup pantang menyerah sebelum ajal. Melihat kembali sejarah, pemuda adalah teras kepada satu kebangkitan dan pintu kepada kegemilangan. Sama ada pemimpin sekular, komunis, duniawi, mahupun pemimpin dengan teras agama, semua meyakini akan kekuatan dan kepentingan pemuda ini. Itulah sebabnya, semenjak dahulu lagi, pemuda menjadi tiang pasak kepada sebuah masyarakat, tamadun, dan peradaban. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah berfirman;

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)

Pemuda pada masa kini, lahir ditengah-tengah masyarakat yang rosak. Ibarat barah, yang semakin hari semakin kronik. Lihat sahaja di sekeliling kita. Jika pada umur 13 tahun, subah boleh bunting hasil perkongsian haram, tidak rosak jadinya? Jika lelaki dan perempuan, muda mudinya bebas melakukan apa sahaja, tanpa segan silu, tidak haru biru lagaknya? Jika korupsi menjadi-jadi dan janji-janji pemimpin hanya tinggal janji, tidakkah menyusahkan rakyat namanya? Apatah lagi apabila Al-Quran dan sunnah jauh dari diri, kita lupa matlamat wujud ke dunia ini.

Maka, haruskah kepekatan malam yang panjang ini dibiarkan terus begitu? Bila dan bagaimana mahu disinarkan kembali cahaya Syahadah? Siapa mahu melaksanakannya. Masyarakat ini perlu diubati tentunya. Itu satu kemestian. Jika orang yang demam diberi penawar, masakan masyarakat yang sakit dan rosak ini hendak dibiarkan begitu sahaja. Pemuda adalah jawapannya. Sirah telah menunjukkan segalanya. Teras kepada kejayaan dakwah nabi kerana kesungguhan pemudanya. Ali, Suhaib Ar-rumy, Salman Al-Farisi, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi tokoh pejuang agama era sahabat terdiri daripada pemuda. Meski Abu Jahal itu pemimpin utama, namun bukan dia yang menjadi teras agama ini. Mahu Allah tunjuk kepada kita, memang pemuda menjadi teras dan pengubat buat agama ini.

Allah berfirman (Al-Imran : 110):

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنكَرِ

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.


Ayat daripada surah ini perlu sekalian pemuda hayati bersama. Buka sejenak minda dan lapangkan hati kalian. Allah menjelaskan bahawa sesungguhnya kita adalah sebaik-baik umat. Kita makhluk terbaik di alam ini. Kita termulia. Kebaikan dan kamuliaan ini bukan dikurniakan kerana kayanya kita atau kerana besarnya pangkat atau hebat pekarjaan yang dimiliki. Mulia kita ini karana kita menyeruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, serta hidup dalam keadaan beriman kepada Allah. Ini matlamat hidup dan tujuan kejadian manusia yang mahu Allah ingatkan buat kita dan mahu kita beramal dengannya. Hidup ini tidak lama. Akhirat itu pasti akan kita laluinya. Itu hari perhitungan dan pembentangan amal yang kita laksanakan di dunia ini. Maka apabila kita tahu akhirat itu pasti, mengapa tidak mahu kita bersedia kearahnya? Apa yang mahu kita persembahkan nanti? Anak-anak, kereta besar, pangkat, jawatan, duit, senjata, rumah, harta, dan pelbagai lagi nikmat alam ini sudah tidak bermakna lagi. Hanya amal kita berdasarkan apa yang Allah mahu akan dinilai dan diterima. Apa yang Allah mahu? Ayat di atas tadi menceritakan segalanya.


Ambil masa yang ada dan renungi kembali akan hari-hari yang telah berlalu itu. Berapa banyak telah dihabiskan untuk beramal dan berapa banyak yang tersia-sia. Bangkit kan roh dan semangat kita berteraskan kesyumulan Islam ini wahai pemuda. Moga kita bisa menjadi satu ejen perubah buat umat yang kian tenat ini.


Usah terus terleka.


Salam perubahan.

No comments: