Wednesday, November 11, 2009

Ibadah : Manifestasi Seorang Hamba

Salam buat kesekelian kalinya.

Selagi darah mengalir, degup jantung tiada hentinya, rona mata jelas melihat, seiring dengan putaran masa itu sendiri, selagi itu tuntutan amal menjadi satu kebutuhan. Tatkala hentinya nafas, tidak berfungsinya valve, dan tiada signal dihantar ke receptor, menyebabkan segala impulse menjadi palsu semata, lalu terangkatnya roh dari jasad, tika itu, hanya hitungan dan pengadilan menanti. Taubat dan tangis sesal tiada erti di sisiNya.


Menyedari maut memang pasti dan bimbang tidak sempat melihat Rumah Illahi, ramai manusia mengejar kesegeraan ibadah haji. Terutama yang muda. Menjadi satu fenomena dewasa ini, negara menyaksikan lahirnya ramai haji dan hajah muda. Umur tidak sampai setengah usia, gelaran haji dan hajah telah ditagih sebutannya. Pengalaman kehidupan tidak seberapa, namun kelima-lima rukun telah disempunakan. Demikian pada hematnya. Lalu kita akan menyaksikan insan yang merasakan dirinya telah sempurna. Kerna apa? Manakan tidaknya, jika kelima-lima rukun Islam telah selesai, tidakkah bemakna Islamnya juga telah selesai? Telah sempurna. Sampai ke tahap jauh dari orang lain. Stigma sebegini yang pada hakikatnya, terpasak kukuh dalam mentaliti umat. Melayu terutamanya. Ini hakikat yang berlaku. Skop pandangan terhadap ibadah, terutamanya haji, sebagai penutup amal. Macam penutup botol. Tidak lengkap tanpanya.
Ibrah dan kekuatan yang sepatutnya terbina daripada beribadah kepada Rabb seperti berteriak ke padang pasir ditengah kepekatan malam. Tiada hasil mahupun kesan. Sia-sia.

Menyoroti kembali fungsi dan dalil beribadah itu sendiri, perlu kepada keterbukaan dan kejelasan matlamat kehidupan.'wa mal kholaktu aljin wal ins illa li ya'budun'. Demikian firman Allah dan dalil manusia beribadah. Itu juga sebagai ghoyah(matlamat) penciptaan manusia ke alam ini. Ibnu Taimiyah, saat ditanya, apa itu ibadah, dijelaskannya ibadah amat luas ruang lingkup dan maksudnya. Ibadah ritual, solat, puasa, haji, zakat, adalah kewajipan. Ibadah sunat, puasa sunat, solat sunat, adalah contohnya. Ibadah yang melibatkan hubungan sesama manusia, seperti bersedekah, mengajar, menyelesaikan pertelingkahan antara dua saudara, membuang duri di jalanan, dan seumpamanya. Hatta beliau memberi kesimpulan, seluruh ruang lingkup kehidupan ini, merupakan wadah dan peluang untuk beribadah. Sampai ke saat tidurnya juga, ibadah itu mampu terlaksana. Tidak terikat ibadah itu dengan hanya dalam mahupun sekitar masjid sahaja.

Ibadah adalah satu proses perhambaan diri kepada Pencipta. Kepada Allah YAng Esa. Satu bentuk penyerahan diri secara total. Menjalinkan satu ikatan daripada hamba kepada Penguasanya. Menundukkan diri dengan penuh kepatuhan, ketaatan, kehinaan, dan kesungguhan disamping disulami dengan ketinggian rasa cinta kasih dan rindu kepadaNya. Maka rasa kerendahan dan cinta kasih ini dijelmakan dalam bentuk ibadah. Dan ibadah itu pula, seperti yang dibicarakan tadi, amat luas ruang lingkupnya. Seluas kasih-sayang Allah itu sendiri. Daripada amalan wajib, sunat, ketika bekerja, ketika belajar, ketika memasak, ketika memandu, menjaga anak, bermesyuarat, memerhati alam, melancong dan pelbagai lagi. Pendek kata, segala apa yang dilakukan, selagi tidak bertentangan dengan nas-nas syar'i, membawa kebaikan, dan yang paling penting, elemen tunduk dan cinta kepada Allah itu wujud, dikira ibadah. Luas bukan?

Salahkah kita mengatakan diri kita ini hamba? Kita ini hamba. Hamba ini orang suruhan bukan? Kerjanya menurut perintah. Jika kita belajar dalam hierarki masyarakat dunia, golongan hamba ini letaknya paling bawah sekali. Di atasnya ada pemerintah, bangsawan, cendekiawan, kesatria, artisan, ahli tukang, orang awam, dan akhir sekali, baru hamba. Hamba ini golongan yang diperdagangkan. Jika tidak dapat membayar hutang, penjenayah, atau miskin yang mungkin di bawah paras miskin tegar, maka, menjadi hamba. Mengapa ada yang menafikan bahawa kita ini hamba? Adakah sama hamba kepada Allah dengan hamba dalam sistem manusia? Mungkin ini faktor penolakannya.

Hamba kepada Allah, sebagaimana yang dinyatakan tadi, satu manifestasi kepatuhan dan ketundukan serta cinta kasih yang melangit kepada Ilahi. Dengan manifestasi ini, darjat manusia itu akan terangkat dengan sendirinya disisi Illahi. Manusia akan mencapai kemuliaan dalam kehidupan. Jiwa manusia akan bangkit dan bebas serta menundukkan dan menafikan segala macam kepalsuan dan kehinaan dalam kehidupan. Bukan dengan nilai harta yang tinggi, ilmu yang melaut luas, anak-pinak yang semuanya menjadi, kukuhnya kedudukan di dunia, dalamnya cengkaman kuasa, besarnya pengaruh, dan hebatnya penghormatan yang diberikan manusia. Namun, dengan menghambakan diri kepada Allah sahaja jalannya. Dan perhambaan ini tidak menolak dunia sama sekali. Orang yang menghambakan diri kepada Rabb akan mendapat harta, ilmu, anak, kedudukan dan lain-lain nikmat kehidupan. Menifestasi ini bukan menutup, malah membuka seluas-luasnya peluang yang disertai dengan usaha kepada kejayaan. Usah gusar. Lihat sahaja bukti pada sejarah itu. Kepatuhan para sahabat kepada Allah dan rasul tidak menghalang mereka kepada harta dan kekayaan serta kekuasaan. Kerajaan Rom dan Parsi yang agung itu tunduk di bawah kekuatan dan kekuasaan mereka. Mereka menaklukinya. Benar bukan? Genggamlah dunia, asalkan tidak di hati.

Sedangkan, perhambaan kepada manusia tidak lain hanyalah bersifat kebendaan dan material. Harta dan kuasa yang menjadi penentu kepada darjat dan martabat. Hina dan mulianya manusia amat bergantung kepada neraca itu. Sebenarnya, alam konteks ini, manusia telah menghambakan dirinya kepada harta dan dunia. Hidup berorientasikan usaha meningkatkan dan mengaut harta sebanyak mungkin. Amat rugi. Nilai ibadah itu akan jauh dari diri.

Maka ayuh kita buka minda seluas-luasnya. Akan hakikat dan matlamat ibadah itu dan kaitannya dengan konsep perhambaan kepada Yang Khaliq. Buka pintu hati untuk cuba memahami lantas beramal bengannya. Moga-moga, kita ini bersama terpilih dalam golongan yang bisa dicampakkan dalam sanubarinya erti iman dan taqwa yang sebenar.

Sahih dalam beribadah.

Salam perhambaan.

No comments: