Wednesday, December 2, 2009

Jasad Dan Roh


Salam buat jiwa-jiwa yang hidup.

Bagai mayat saja lagaknya kita. Demikian umat ini, kini. Tanpa ketuanan, tanpa negara sendiri, terhakis jati diri dan identiti, hidup merempat atas ehsan dan kuasa yang ada pada musuh, bercakaran sesama sendiri, dan lena dengan mimpi dunia yang singkat.Dan, apabila dipukul, rebah, apabila disogok, menggelabah. Memiliki penganut seramai hampir 1/3 populasi dunia, tidak membawa sebarang erti. Dianugerahi dengan simpanan minyak yang cukup luas saiznya, akhirnya dijual buat laba kuasa-kuasa hagemoni dunia. Bercakap pula tentang ganerasinya, satu keluhan kedengaran. Bagaimana dapat bangkit, jika tubuh yang sasa tumbang kepada sepuntung rokok dan sebiji estacy? Sampai bila harus ditunggu siapnya angkatan pemuda, jika ramai tersadai di pusat-pusat pemulihan akhlak, rumah-rumah pengasih, atau sekadar terlantar di penjuru kaki lima, menanti disentak Izrail.

Itu realiti. Miliki jasad, tanpa roh. Wujud dengan gagah secara zahirnya, dengan batin yang merana.

Duhai sahabat yang mulia,

Berbicara mengenai roh, apa significannya akan kebangkitan umat ini dan bagaimana mengembalikannya?

Secara mudah, ayuh kita lihat dari sudut ilmu sains. Mampukah satu-satu jasad hidup tanpa roh? Tidak bukan. Kematian itu sendiri ditakrifkan sebagai berpisahnya roh daripada badan atau jasad. Demikianlah satu perumpamaan dibuat akan umat ini. Umat Islam tentunya. Roh yang wujud dalam jasad umat, mampu memberi kekuatan dan daya tolakan yang kuat untuk mengharungi dan menongkah arus duniawi. Ia manggerakkan dan menghidupkan anggota umat untuk peka akan situasi diri semasa, sedar akan hakikat yang ada, lantas disolusikan dengan tindakan yang realistik. Bersesuaian dengan realiti semasa. Jasad pula yang akan berhadapan dengan alam. Dengan dunia. Tiada erti tanpa salah satunya.

Satu pendekatan bagi mengembalikannya:

1) Roh itu hilang, antara sebabnya, kita sendiri lupa atau meninggalkan malah menafikan, akan kegemilangan dan ketamadunan yang telah dirintis dan dibina. Kita pernah berjaya, gemilang memacu dan mengemudi dunia menuju negara akhirat. Dengan iman, amal, dan ilmu membangunkan sebuah tamadun. Kita dijadikan rujukan malah dihormati kawan mahupun lawan. Sejarah ini tidak mungkin terpadam dan akan kekal terpahat pada dinding kehidupan, menanti untuk berulang kembali. Mempersiapkan diri dengan memahami sejarah islam secara keseluruhan, umpama memanggil roh pulang ke jasad. Ia akan kembali.

2)Memahami realiti umat masa kini, akan punca, akibat dan langkah praktikal menanganinya. Ramai dikalangan kita yang tidak ambil kisah langsung akan problemisasi umat ini. Ditanya akan isu Palesin, tidak tahu, bila tarikh runtuhnya khilafah Islam, tidak tahu, siapa tokoh Islah dan perjuangan, tidak tahu, mana satu negara Islam, entah apa-apa negara yang disebutnya. Tidak tahu wujud atau tidak. Jangan disalahkan jika anak-anak kita tidak tahu segalanya. Tanyalah, bagaimana kita mendidik mereka. Kita perlu banyak mencari ilmu dan maklumat tentang situasi saudara seakidah kita. Sebagai tanda peduli dan bagi mengembalikan roh ke dalam jasad umat ini. Perlu kita bertindak sebagai pusat rujukan tentang isu-isu agama kita. Bayangkan, sebagai contoh, jika kita belajar di negara asing, lalu satu hari, kita ditanya tentang apa itu Islam. Tentang Palestin. Sama ada di dalam dewan kuliah mahupun oleh teman-teman. Lebih parah, jika soalan itu terpancul daripada mulut orang bukan Islam. Tidakkah kita telah memberi satu gambaran yang negatif akan sikap umat Islam itu sendiri?

3)Beramal dengan ajaran agama dengan sebaiknya. Jadikan al-Quran sebagai bacaan harian. Tidak perlu banyak. Yang penting, istiqamah. Jangan cepat jemu dan mengeluh. Kaji maknanya dan cuba beramal semampu mungkin. Bersegera kepada kebaikan. Dan yang lebih mulia, meletakkan diri kita sebagai antara batu-batu kepada binaan Islam. Menjadi penggerak kepada keja-kerja mendaulatkan dan meninggikan kalimah Illahi. Meskipun kita seorang remaja, pelajar, atau yang sudah dimamah usia. Berusahalah mencarinya.

Duhai teman,

Jangan jadikan entri kali ini, sekadar untuk menyentuh jiwa. Jangan sekadar bersetuju. Bukan salah, kuatir tidak memadai. Mengapa tidak bersama beramal dan bargerak kepadanya, wahai sekalian sahabat.

Dunia ladang akhirat.

Salam berkerja.

No comments: