Monday, February 1, 2010

Krisis Dan Kebangkitan





Salam Buat kalian.

Tindak balas adalah sesuatu perkara yang normal dalam kehidupan. Malah,manusia yang normal, cukup dengan segala kesifatan yang ada padanya, pasti akan bertindak balas. Mengimbau kembali ilmu biologi yang dicintai, ia dipanggil response. Receptor yang ada pada kulit manusia pelbagai jenis fungsinya. Heat receptor, cold receptor, pain receptor, dan sebagainya adalah contoh receptor atau 'pengesan' yang dijadikan. Dan fungsinya?

Kita ambil contoh pain receptor. Terletak paling hampir dengan kulit manusia. Memang begitu dijadikanTuhan. Tatkala terkena benda tajam, pisau misalan, ketajaman yang dikesan dalam bentuk yang diistilahkan sebagai impulse, atau janaan elektrik akan melalui urat saraf terus ke otak. Otak yang menerima akan memproses janaan yang dikesan langsung menyedari ia adalah kesakitan lantas memutuskan perkara atau tindak balas yang wajar dilakukan. Maka, keputusan yang telah ditimbang otak ini terus melalui saraf dan bepindah ke reactor. Bunyi 'aww', menarik tangan dengan kepantasan melebihi kebiasaan, berpeluh dan sebagainya adalah contoh tindak balas. Saraf berfungsi sebagai highway atau mainstream atau pathway bagi impulse ini bergerak. Hebatnya, tiada tol dan lebih menakjubkan, proses yang diterangkan serba ringkas ini dan bisa saja diperhebat dengan istilah, konsep, penemuan terkini dan huraian lebih terperinci, berlaku kurang daripada satu saat. Hebat bukan?

Itu tindak balas badan dengan segala apa yang Allah ciptakan. Bagaimana pula dengan umat ini? Tidakkah dikau perasan duhai diri dan teman, akan segala tindak balas yang perlu berlaku dan kata putus yang perlu diambil? Mengapa tidak kita ini sendiri menjadi receptornya? Menjalankan tugas yang terjunjung di atas batu jembala, misi yang dahulu sebelum menjenguk ke dunia, sungguh-sungguh mahu dilaksana, tatkala berhadapan dengan Rabb yang Maha Kuasa? Salahkah jika menyonsong dan merintis satu response dan tindak balas buat umat dan bangsa yang mana kecintaan ini dicurahkan padanya? Sayu hati dan jantung memerhati prilaku anak bangsa dan marah juga dengan apa yang berlaku dan dilakukan.

Bukankah tindak balas itu sesuatu yang normal, lumrah, dan mesti berlaku, buat insan yang hidup dengan segala ciri-ciri kenormalan yang Allah kurniakan atau pijamkan? Masalah pokok manusia tidak terletak pada statistik pada papan tanda bursa sahamnya sama ada Dow Jones, Wall Street, BSKL, dan sebagainya. Tidak juga terletak pada berapa banyak KDNK yang dicapai. Dan tidak juga terselesai dengan lahirnya infrastruktur mega seperti Burj Dubai, TGV, Shinkansen, Giza, atau seumpamanya. Sekalipun pada permainan politik yang sering berubah dengan segala macam polemik dan fenomenanya, masih tidak mampu mengesan dan memberi tindak balas yang terbaik.Komprehensif.

Tidak seperti Islam. Tindak balas yang mampu terhasil sememangnya terbaik. Jangan segan melihat pada contoh sejarah itu. Saiyidina Abu Bakar. Apabila diamanahkan menjadi Khalifah, krisis utama yang menimpa umat sewaktu itu adalah isu murtad. Ramai yang memegang stigma, Islam itu hanya sewaktu wujudnya susuk tubuh dan jasad sang rasul. Berpisahnya roh dari badan baginda, maka Islamitu terpisah daripada mereka. Isu ini menjadi barah buat umat jika dipandang sebelah mata. Dengan tegas, kata dua diberi buat mereka, sama ada bertaubat atau menghadapi serangan daripada tentera muslimin. Dalam tempoh konfrontasi ini, banyak pihak yang seka meneguk di air yang keruh. Hasutan daripada puak munafik yang tidak putus-putus dan rasa serba salah dikalangan segelintir para sahabat terhadap tindakan yang bakal diambil terhadap golongan murtad. Namun, setelah berjaya menangani konfrontasi dan krisis ini, satu kebangkitan menjunjung kemulian dapat diperlihatkan. Islam mulia dengan da'wahnya yang lebih terang daripada sinar mentari pagi.

Demikian adalah tindak balas natural dalam kehidupan. Setiap krisis, permasalahan, konflik, gejala, penyakit dan apa sahaja musibah yang timbul, memang menjadi lumrah untuk di atasi dan dirungkai permasalahannya. Begitu juga dewasa ini. Saat Islam diperkotak-katikkan, maruah dicalar, darah dialirkan dengan jeriji-jeriji besi besi yang menusuk, dan diperbudak serata tempat, yang hanya mampu dilakukan atau pilihan untuk dibuat hanya berpeluk tubuh, diam seribu bahasa. Disuruh angguk, angguk, disuruh tidur, tidur. Ini yang sebetulnya?

Dengan berdiri di atas satu fitrah yang semula jadi, tindak balas itu amat butuh ketika ini. Sepanjang rentang masa bahkan. Kita perlu menolak diri yang kerdil ini untuk berusaha mengembalikan kemuliaan Islam. Permasalahan umat sebenarnya bermula di dalam hati. satu tempat yang amat abstrak untuk diceritakan. Namun cukup dengan memahami bertunjangkan al-Quran, diperincikan dalam hadis yang sahih, dan diperlihat menerusi kehidupan para safus soleh, hati adalah kuncinya. Kita bisa sahaja merawat sakit badan, kaki, tulang dan pelbagai lagi jenis yang tercatat. Namun, bagaimana mahu merawat hati? Sakit dalam jiwa yang kering dengan kemurnian Islam, harus ditujukan ke mana? Inilah krisis kita sekarang ini. Sama ada mahu menerima atau tidak, ini adalah hakikat.

Maka ayuh rakan, ayuh teman, ayuh sekalian jiwa yang dalam piala hatinya penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang buat umat dan bangsa, kita mula mengorak langkah, bertatih, merangkak, berjalan dan jika bisa, lebih pantas daripada berlari untuk kita rawat hati dan kembalikan kemuliaan Islam kena pada tempatnya. Meski usaha kita ini kecil, atau mungkin kita tidak dapat menikmati hasilnya.Tidak dapat melihat lahirnya khilafah, duduk di bawah naungan Islam, merasai politik, ekonomi, sukan, pendidikan, perbankan,hiburan, malah sistem yang berpaksikan tauhid kepada Allah, dan meski tidak dapat melihat wajah insan yang bakal dipanggil khalifah itu, yakinlah, sesungguhnya, usaha aku dan kalian yang tidak seberapa ini, akan ada nilainya disisi Rabb yang maha kuasa.

Ayuh melangkah ke gerbang jaya.

Salam kebangkitan.

1 comment:

ibnkhair said...

salam abg Eddy :)


"Ayuh melangkah ke gerbang jaya"

ayuh, berlari2 ke arahnya..

jazakallah akhi abg eddy..