Friday, July 31, 2009

Dari Singa...



Kepada anak kijang yang pengecut. Begitu hakikat putera-puteri Islam dewasa kini. Satu bentuk evolusi yang mengaibkan dan memalukan buat umat yang sedia sakit ini. Kenapa dikatakan aib dan malu? Kerana sejarah singa Islam yang pernah menggegarkan dan membina sebuah tamadun peradaban manusia terbaik sepanjang zaman dikikis dari memori umat ini. Kegemilangan Tamadun Abbasiah bukti termudah. Ini realitinya peperangan yang terus berlaku. Bagaimana musuh mahu mengelirukan dan memastikan tiada peningkatan dicapai umat yang mengesakan Allah ini.

Konspirasi untuk memerangi lantas menjatuhkan umat Islam pada zaman millenium telah dilakukan dengan cukup teliti. Mereka memastikan platform-platform semasa dikuasai oleh tokoh-tokoh buatan. Tokoh buatan? Mungkin janggal didengari namun tidak aneh lagi kini. Sistem pendidikan, ekonomi, dan media massa umpamanya telah dikuasai oleh ilmuan, cendekiawan, dan sasterawan palsu malah buatan. Zahirnya mereka ini nampak pro Islam, namun sebenarnya menyebarkan retorik ala

jahiliah kepada masyarakat. Mereka mengaku program yang dijalankan bersifat ketuhanan dan menjurus kepada pembangunan modal insan, namun itu hanya untuk mengaburi masyarakat semata-mata. Hakikatnya, perancangan jahiliah masih diteruskan. Konsert berlebihan, rancangan realiti yang menjadikan kita lupa akan realiti sebenar dan sambutan Tahun Baru yang mencampurkan lelaki dan perempuan masih dijalankan. Ini baru contoh dari aspek media massa.

Tokoh-tokoh ini pula lahir daripada sistem pendidikan yang dicorakkan oleh barat tentunya. Lemahnya sistem ini bukan kerana ia memberi tumpuan kepada akademik, mengutamakan pencapaian dalam peperiksaan, tidak holistik, atau berorientasikan peperiksaan dan sistem KBSR serta KBSM, tetapi kerana hasil daripada sistem pendidikan barat ini gagal untuk menguasai syahwat, tunduk kepada nafsu dan karam dalam hedonisme. Meskipun pencapaian akademik dalam slip peperiksaan itu menggembirakan, namun gagal dalam aspek ini. Mereka inilah yang ditempatkan menjadi tokoh-tokoh dalam masyarakat, baik dalam lapangan politik, sastera, cendekiawan, media massa, manjadi ahli korporat, pengarah, dan teknokrat. Natijahnya, idea dan gerak kerja pembangunan Negara bersumberkan aspirasi golongan yang tunduk kepada nafsu dan syahwat. Lalu, agama diperkotak-katikkan dan hanya tinggal sebahagian daripada perlembagaan yang dipesongkan. Tinggallah agama menjadi bahan pameran di muzium, expo-expo, adat perkahwinan, pembahagian harta pusaka, dan sekitar itu sahaja. Dari aspek kesyumulan dan penghayatan jauh dari yang sepatutnya.

Rancangan sekalian musuh-musuh ini hampir berjaya. Kisah-kisah singa Islam satu masa dahulu telah dipadamkan. Anak-anak kini hampir tidak mengenali siapa Torik bin Ziad, Saad bin Abi Waqas, Abdullah ibnu Maktum, Ummu Salamah, Bilal, dan lain-lain sahabat. Jika tidak kenal, bagaimana mahu menyelami kisah perjuangan mereka. Tidak begitu? Tanpa inspirasi daripada pejuang-pejuang terdahulu ini, tidak mungkin dapat dibangunkan jiwa-jiwa yang sensitif dan peka terhadap ummat. Pemuda-pemudi kita tidak lagi menerkam umpama singa yang garang terhadap jahiliah dan kuffar. Jika dahulu, sahabat sanggup bangkit menyatakan yang hak demi membasmi yang batil, kini, tidak lagi. Pengorbanan keluarga Yasser sehingga syahid kerana mempertahankan syahadah tidak lagi berulang. Mereka yang baik pada masa kini lebih memilih untuk beruzlah, me

ngasingkan diri daripada maksiat dan lari daripada jahiliah. Tidak ramai yang rela terjun ke dalam masyarakat untuk menyingkirkan kekufaran yang ada. Mereka umpama kijang yang pengecut.

Begitu hakikatnya. Wajar dibiarkan berterusan perkara ini?


Kekal sebagai singa.


Salam hormat.




No comments: