Friday, August 14, 2009

RAMADHAN KAREEM!!!




‘Bagai menerima sebuah hadiah terlalu istimewa daripada kekasih. Nilainya tiada tandingan. Biar berganti tujuh lautan dengan emas dan permata, tujuh lembah dengan nilam dan manikam, namun, itu semua hanya ibarat debu berterbangan di sisinya. Itulah Ramadhan yang mulia.’


Silih malam dan siang berganti, bagai putaran episode-episode kehidupan manusia. Dalam pantasnya masa berlalu, kini gerbang Ramadhan mampir merapati kita. Datangnya bukan sekadar satu kehadiran biasa. Tidak kira bagi sesiapa pun. Bagi kanak-kanak, tibalah masanya bermain mercun dan bergembira. Bagi peniaga dan penjaja, lubuk rezeki menanti mereka. Bagi pembuat pakaian dan tujang jahit, bertimbun tempahan menanti. Bagi pembuat kuih, sudah boleh dicongak-congak berapa keuntungan tahun ini, dan sebagainya. Seputar ragam manusia menyambut Ramadhan yang mulia. Begitu segelintir masyarakat kita. Saban tahun mungkin. Masih dalam satu kepompong pemikiran yang sama terhadap terhadap Ramadhan. Benar bukan?





Kebanyakan masyarakat tempatan, Melayu muslim khususnya, barangkali tidak berapa jelas akan bulan ini. Berkenaan kemuliaannya, tanggungjawabnya, dan peluang yang sedia terhidang. Tindak balas yang dilakukan manusia terhadap bulan ini adalah kesan satu bentuk penjajahan sebenarnya. Ya, hidup kita masih dalam satu siri penjajahan yang panjang. Masih tidak bebas sepenuhnya lagi. Kukuh terpasak dalam minda segelintir masyarakat, Ramadhan ini tidak lain hanya seperti bulan yang memerlukan kita berlapar pada siangnya dan pada malam hari, sajian menggugah jiwa menanti. Genap sebulan, raya menanti. Masa untuk beragam dan melaram. Insan masih lagi sibuk memikirkan persiapan menghadapi raya berbanding menghadapi Ramadhan.




Bayangkan, jika bagi anak-anak kecil, minda mereka sudah diprogramkan untuk menyibukkan diri menghadapi raya. Bila raya, baju raya, kuih, kasut dan sebagainya menerusi iklan-iklan dan dan siri-siri drama televisyen. Kalau dari kecil sudah didik dengan lagu ini, pemikiran ini menjadi stereotype dan untuk baki 50-60 tahun kehidupannya, begini sahaja senarionya. Komposisi punduduk Malaysia 24 juta, dan 14 juta daripadanya adalah Melayu. Daripada jumlah 14 juta ini, 30-35% adalah kanak-kanak. Jika mereka sentiasa terdedah dengan budaya berfikir ini, untuk tempoh 10-20 tahun kehadapan pula, berapa ramai lagi yang bisa menjadi sepertinya.


Rangka penjajahan ini hampir mencapai matlamatnya, menjauhkan kita daripada menikmati kalazatan Ramadhan seoptimum mungkin yang mana tujahannya, mampu manggegarkan alam.


Golongan yang seterusnya, lain pula kisahnya. Dilihat, seakan tiap-tiap hari diharungi dengan penuh kenikmatan menghadapi Ramadhan. Manakan tidaknya, belum masuk Ramadhan sudah berebut orang buat kenduri kesyukuran bagi menghargai tibanya bulan ini. Surau dan masjid, sibuk membuat rencana dan rangka program bagi menghadapinya. Qiammulail perdana, iftor jamaie, tadarus berjamaah, dan sebagainya. Namun, apa yang mengecewakan, amal tinggal amal.Mereka menjadi manusia yang Ramadhani, bukan Rabbani. Berlalunya Ramadhan tidak memberi impak sedikit pun. Mereka masih kekal sama seperti dahulu. Hidup dengan rutin yang tidak membina.


Ramadhan umpama satu unuversiti. Tempat mambina diri. Graduan universiti hanya akan diiktiraf dengan segulung ijazah yang diperolehi. Ijazah itu akan digunakan sebagai tiket kepada pintu rezeki dan majikan amat mengiktirafnya. Sama halnya dengan universiti Ramadhan ini. Graduannya akan menerima pengiktirafan daripada Rabbul Jalil. Dengan pengiktirafan ini, tempoh 11 bulan mendatang bakal dilalui dengan barakah dan makrifah, dan maghfirahnya.


Hidupkan Ramadhan.


Salam perubahan.








No comments: